Dituduh Pulang Awal, Sebenarnya Pukul 3 Pagi Khai Bahar Balik - Hiburan | mStar

Dituduh Pulang Awal, Sebenarnya Pukul 3 Pagi Khai Bahar Balik

Khai Bahar jawab dakwaan dia pulang awal setelah AJL32 berakhir. Foto Instagram: khaibahar94

PENYANYI Khai Bahar terkilan dan berkecil hati apabila ada individu memuat naik status di laman Twitter mendakwa dia pulang awal setelah berakhirnya malam Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL32), Ahad lalu.

Menurut Khai, 24, dakwaan tersebut adalah tidak benar kerana dia masih berada di sekitar Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil bertemu peminat selepas siaran langsung itu berakhir.

"Khai akui sedikit berkecil hati apabila ada seseorang menulis di Twitter mengatakan Khai balik awal dan tahun depan tak perlu masuk AJL lagi sebab semak.

Status yang ditulis oleh seorang pengikut dilaman Twitter.

"Untuk makluman, Khai balik paling lambat dan pukul 3 pagi baru Khai pulang ke rumah, ketika itu tinggal beberapa orang sahaja di dewan.

"Sampaikan berasa kasihan kepada pengurus sebab terpaksa menunggu lama, sebab itu Khai nak memperbetulkan dakwaan tersebut," katanya.

Sementara itu, penyanyi lagu Bayang ini berkata dia tidak terkesan dengan kritikan negatif yang dilemparkan oleh netizen mengenai nyanyiannya malam itu.

Sebaliknya, anak kelahiran Perlis ini berpuas hati dengan persembahan yang diberikan dan menerima keputusan juri.

Khai Bahar berpuas hati dengan persembahannya di AJL32 menerusi lagu Bayang.

"Biarlah orang nak kritik apa pun sebab Khai dah buat yang terbaik dan berpuas hati dengan persembahan malam itu. Khai juga manusia biasa tak boleh lari daripada kesilapan diri.

"Khai tak pernah berharap jadi juara, kalau menang itu rezeki dan tak melawan takdir. Insya-Allah, Khai percaya rezeki itu ada di mana-mana.

"Apa yang Khai lakukan ini ikhlas untuk peminat dan sokongan yang mereka beri membuatkan Khai menjadi lebih bersemangat untuk menjadi seorang penghibur," ujarnya.

Pada malam tersebut, Khai Bahar menerima Anugerah Penyanyi Pilihan Samsung dan membawa pulang sebuah telefon pintar Samsung Galaxy A8 berserta trofi.

Peminat menjadi inspirasi dan semangat untuk Khai terus berkarya dalam industri muzik.

Untuk rekod, kemenangan tersebut merupakan trofi ke-12 yang dimenangi oleh Khai Bahar sepanjang dua tahun dia bergelar penyanyi.

Antara anugerah yang diterimanya sebelum ini ialah Artis Baru Meletop pada Anugerah Meletop Era 2017, dua trofi pada Anugerah Bintang Popular 2017 (ABPBH), Anugerah Planet Muzik 2017 (APM) bagi kategori Lagu Paling Popular APM (Bayang) serta Artis Paling Popular dan lima trofi dalam Anugerah Top Hot 2017.

Khai Bahar , AJL32

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Hujung minggu yang panjang pada 2019

'Rapunzel' tak potong rambut 28 tahun