suria

Malang Nasib Mu Pekin, Motosikal BMW Dikebas Orang

Pekin reda hilang motorsikal yang dibeli pada empat tahun lalu.

PELAKON Pekin Ibrahim mengalami kerugian lebih RM100,000 selepas motosikal berkuasa tinggi miliknya dicuri pada 24 Julai lalu

Pekin atau nama sebenar Mohd Iznan Ibrahim, 35, berkata, motosikal jenama BMW S1000 itu disedari hilang di kawasan rumah temannya di Seksyen 30, Shah Alam.

"Kalau nak dikirakan, kerugian yang saya tanggung lebih RM100,000 sebab saya ada buat banyak ubah suai.

"Kemungkinan individu yang curi ingin menjual barang-barang yang ada pada motorsikal itu. Nasib baik boleh tuntut dalam 30 peratus daripada kerugian tersebut pada insuran.

"Namun, buat masa sekarang saya masih perlu membayar pinjaman bulanan kepada bank sehingga waktu tertentu," kata Pekin ketika dihubungi mStar Online .

Motorsikal berkuasa tinggi milik Pekin telah dicuri dan masih belum dijumpai. 

Pekin turut memuat naik foto motosikal berkuasa tinggi dengan menulis kapsyen memberitahu bahawa kenderaan miliknya itu dipercayai telah dicuri.

"Motor saya. BMW S1000. Hilang 'dirembat'. Plate number BKV 616. Jadi kalau ada info, boleh tolong 'rembat' balik," tulis pekin.

Foto tersebut telah menarik perhatian netizen dan rata-ratanya ingin menolong dengan menyebarkan info tersebut ke rakan-rakan mereka.

Malah ada juga yang meminta pelakon tersebut untuk bertenang dan tabah dengan dugaan yang menimpanya.

Sementara itu, Pekin memberitahu dia menyedari motosikalnya tiada di rumah rakannya selepas pulang dari Banting dan terus membuat laporan polis. 

Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada maklumat terbaru mengenai kehilangan itu.

"Saya tumpang letak motosikal di rumah kawan sebab kebetulan saya ada jalani penggambaran filem di Banting. Tak sangka pula, sehari selepas itu ia dah tak ada," ujarnya.

Pekin Ibrahim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain