suria

Tajul, Baru 19 Tahun Bakal Jadi Suami

Tajul akan memasuki episod baharu dalam hidupnya tidak lama lagi. FOTO: Instagram Tajul

SELEPAS popular dengan lagu Sedalam Dalam Rindu, Tajul Ariff kini bakal bergelar pelakon apabila dilamar untuk terlibat dalam filem Enjin Nombor 9.

Tajul, 19, berkata, dia menerima tawaran tersebut bagi mencabar dirinya dalam bidang lakonan.

"Alhamdulillah, pada awalnya terkejut juga kerana saya tidak pernah berlakon dan tiada sebarang pengalaman.

"Pihak produksi menghubungi syarikat rakaman dan mahu juga saya terlibat dalam filem tersebut. Mereka percaya saya boleh melakukannya," ujarnya kepada mStar Online.

Tambah Tajul atau nama sebenarnya Tajul Arif Noor Md. Shari, dia sudah menghadiri sesi bacaan skrip dan bertemu produser filem berkenaan iaitu Raja Azmi.

Tajul bersama produser Raja Azmi.

Katanya, dia juga bakal menghadiri kelas lakonan bersama Raja Azmi sebelum memulakan penggambaran.

Sementara itu, berkaitan watak yang bakal dibawanya, kata Tajul, dia bakal memegang karakter seorang suami dan cucu kepada pelakon Kazar Saisi.

"Watak saya sebagai seorang lelaki yang sudah berkahwin, pada mulanya rasa macam kelakar juga sebab usia saya baru 19 tahun, masih muda untuk bawa watak itu.

"Tapi Raja Azmi kata, mereka akan ajar dan bantu saya membawakan watak suami itu dengan baik," ujarnya.

Katanya, watak isteri yang sepatutnya dilakonkan penyanyi Wany Hasrita terpaksa digantikan dengan pelakon baharu lain berikutan masalah jadual penyanyi tersebut.

Dia akan mula menjalani penggambaran selama sebulan bermula 5 Julai depan di Janda Baik, Pahang.

Tajul Ariff

Artikel Lain