suria

Johan As'ari Mahu Muhasabah Diri Sebelum Bercinta

Johan As'ari masih belum bersedia untuk kembali bercinta kerana merasakan dirinya masih belum matang dalam soal percintaan. Foto IBRAHIM MOKHTAR
PETALING JAYA: Pelakon Johan As'ari memberitahu dia belum bersedia untuk mencari teman wanita kerana merasakan dirinya masih belum matang dalam soal percintaan.

Pemilik nama sebenar Johan Arrif As'ari, 30, ini berkata, buat masa ini dia mahu bermuhasabah diri terlebih dahulu sebelum benar-benar bersedia ke arah percintaan.

"Saya akui sebelum ini hubungan saya berakhir dengan perpisahan kerana saya tidak matang dalam percintaan dan banyak perkara yang perlu saya dalami terlebih dahulu.

"Sebab itu saya ingin fokus kepada diri sendiri terlebih dahulu dan belajar menjadi dewasa sebelum kembali bersedia mencari teman wanita," katanya kepada mStar Online.

Johan ditemui pada tayangan perdana filem terbaharunya Juvana 3: Perhitungan Terakhir yang diadakan baru-baru ini.

Sebelum ini Johan pernah dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan beberapa selebriti wanita seperti Lana Nodin, Izreen Azminda dan Nabila Huda.

Peneraju utama Juvana 3: Perhitungan Terakhir; Adam Shahz (kiri), Johan As'ari dan Zahiril Adzim.

Dalam pada itu, Johan berkata, dia tidak pernah serik untuk bercinta dengan selebriti kerana baginya itu adalah soal jodoh.

"Jika pada masa hadapan saya ditakdirkan bercinta dengan artis saya tidak akan menolak.

"Tetapi buat masa ini fokus saya adalah kepada diri sendiri dan karier seni. Banyak lagi perkara yang ingin saya capai dalam kerjaya saya," katanya.

Bercakap megenai Juvana 3 : Perhitungan Terakhir, Johan berkata, dia mengakui berasa sebak selepas menonton filem arahan Faisal Ishak itu kerana tidak menyangka naskhah berkenaan sudah sampai ke penghujungnya.

Kata Johan, Juvana akan menjadi memori terbaiknya sebagai pelakon kerana ia telah membuka ruang lebih besar kepadanya dalam industri lakonan.

"Saya bermula dengan drama siri Juvana lima tahun lalu dan saya langsung tidak menyangka ia akan mendapat sambutan luar biasa daripada penonton.

"Perasaan sebak memang ada ketika menonton naskhah terakhir itu kerana pelbagai kenangan yang saya dapat termasuk dapat menjadi sahabat kepada pelakon-pelakon yang turut bergandingan dalam Juvana," katanya.

Juvana 3: Perhitungan Terakhir turut membariskan barisan pelakon seperti Zahiril Adzim, Adam Shahz, Nad Zainal dan Hasnul Rahmat.

Ia mula berada di pawagam bermula 29 September (hari ini).

Artikel Lain