suria

Sam Nuhair Berhabis RM30,000 Demi 'Kau Menjauh'

Sam Nuhair yang juga bekas peserta program Akademi Fantasia 2014 (AF2014) muncul dengan single terbaharu, Kau Menjauh. Foto Ihsan JOEPRC INTERNATIONAL

PETALING JAYA: Bekas peserta program realiti Akademi Fantasia 2014 (AF2014) iaitu Nuha menghabiskan RM30,000 demi menghasilkan single terbaharunya yang berjudul Kau Menjauh.

Kini mahu dikenali sebagai Sam Nuhair, gadis berusia 23 tahun ini berkata, walaupun terdapat beberapa halangan sebelum dapat melancarkan lagu tersebut dia puas demi memastikan karier seninya kembali rancak.

"Pembikinan lagu ini melalui onak duri dan pelbagai dugaan selain menggunakan wang sebanyak RM30,000 untuk memastikan Kau Menjauh dapat disiapkan.

"Berkata usaha dan kesungguhan ia akhirnya berbaloi dan single terbaharu itu bukti saya akan terus berjuang dan maju kehadapan demi memastikan karier seni saya kembali rancak," katanya.

Kau Menjauh bakal dilancarkan secara digital bermula 26 Ogos ini.

Tidak lagi berada dibawah pengurusan Astro, Nuha berkata, keputusan itu dibuat kerana ingin berdiri atas usahanya sendiri selain mempelajari selok-belok dunia seni dari bawah.

"Saya mahu buktikan saya bukan sekadar penyanyi segera tetapi saya juga mampu berdiri sendiri dan kembali menyinar dengan identiti tersendiri," katanya.

Dalam pada itu, Nuha berkata, Kau Menjauh mendapat sentuhan sepenuhnya daripada dirinya sendiri yang sudah lama berhasrat untuk menghasilkan sebuah lagu.

Malah katanya, Kau Menjauh dicipta ketika dia masih berada di alam persekolahan dan ia mengisahkan tentang seorang kekasih yang berlaku curang.

Single baharu Nuha, Kau Menjauh bakal dilancarkan secara digital pada 26 Ogos ini.

Sam Nuhair, Kau Menjauh

Artikel Lain