suria

Soo Wincci Teruskan Konsert Tanpa Penaja Selepas Desak PM Letak Jawatan

Soo Wincci
PETALING JAYA: Penyanyi Soo Wincci nekad meneruskan konsertnya pada 31 Oktober ini dengan melaburkan RM500,000 selepas beberapa penaja menarik diri gara-gara desakannya agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

Wincci, 29, enggan membatalkan konsert berkenaan kerana mahu menjaga reputasinya sebagai seorang penyanyi profesional walaupun persembahannya itu turut dihalang keluarga.

"Keluarga terutamanya ibu saya menasihatkan supaya konsert itu dibatalkan sahaja, sekurang-kurangnya duit tidak dilaburkan dengan lebih banyak.

"Tetapi saya tak boleh berbuat demikian. Jika ia dibatalkan, saya akan hilang kepercayaan daripada pihak luar memandangkan saya sudah berjanji mahu adakan konsert itu dan reputasi nama yang saya bina juga akan terjejas. Dua perkara penting itu tidak boleh dibeli dengan wang ringgit," katanya kepada mStar Online.

Penyanyi yang popular dengan lagu Musim Asmara  itu menerima padah apabila penaja utama konsertnya telah menarik diri berikutan tindakannya mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan dalam satu rakaman video yang dilakukannya.


Konsert Inwinccible bakal diadakan pada 31 Oktober ini.

Video itu dimuat turun di laman rasmi Facebook miliknya pada 30 Ogos lalu.

Sementara itu, Wincci berkata, dia sudah menjangkakan perkara itu dan terpaksa terima dengan hati terbuka walaupun perlu melaburkan wang yang banyak.

Lebih menyedihkan katanya, penjualan tiket sehingga kini tidak mendapat sambutan walaupun dia sudah menjemput beberapa media di Asia dan penggiat muzik dari Hollywood juga akan hadir menyaksikan konsert berkenaan.

"Apa yang saya tampilkan dalam Inwinccible ialah konsert bertaraf antarabangsa. Saya mahu tunjukkan pada mereka bahawa industri muzik Malaysia mampu setaraf dengan negara-negara maju di luar sana. Saya mahu naikkan industri muzik kita semula.

"Sebab itu, ada penaja atau tidak, tiket dapat sambutan atau tidak, saya akan bersungguh-sungguh menjayakan persembahan konsert ini.

"Memandangkan saya akan melebarkan kerjaya muzik ke Amerika Syarikat tidak lama lagi, saya turut menjemput beberapa penggiat muzik antarabangsa termasuklah bekas pengurus Celine Dion menyaksikan konsert ini," ujarnya.

Dalam pada itu kata Wincci, dia juga merancang untuk mengadakan konsert jelajah di luar negara bagi memperkenalkan muzik-muzik Malaysia kepada masyarakat luar.

Wincci kini sedang menjalani latihan bagi persiapan konsert tersebut.

Seramai 100 kru termasuklah 40 pemuzik terlibat dengan Inwinccible.Tiket berharga RM216, RM322, RM428 dan RM534 boleh dibeli menerusi laman web  www.ticketcharge.com.my

Inwinccible akan berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Soo Wincci

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain