suria

Sufi Juara AF2015, Bawa Pulang RM50,000

Sufi yang berasal dari Singapura diumumkan sebagai juara program Akademi Fantasia 2015. Foto THE STAR/RICKY LAI.

SHAH ALAM: Peserta berasal dari Singapura iaitu Sufi diumumkan sebagai juara program realiti Akademi Fantasia 2015 (AF 2015) yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini pada malam Ahad.

Kemenangan itu membolehkan Sufi atau nama sebenarnya Mohammad Sufie Rashid, 24, membawa pulang hadiah utama wang tunai berjumlah RM50,000, percutian ke Dubai beserta trofi sumbangan Astro.

Hadiah disampaikan oleh pengetua AF 2015, Edry Abdul Halim.

Kesemua finalis AF 2015 peringkat akhir bersama trofi kemenangan masing-masing.

Pada pertandingan yang turut disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) itu menyaksikan Sufi menyanyikan lagu berjudul Andai Ku Bercinta Lagi dan sebuah lagu baharu ciptaannya sendiri, Kisah Dua Muka.

Tempat kedua dimenangi oleh peserta dari Kuala Lumpur iaitu Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 22, dengan membawa pulang wang tunai RM30,000, percutian ke Dubai, dan sebuah trofi.

Manakala tempat ketiga milik Bila atau nama sebenarnya Nurnajmi Nabila Samsaidi, 19, sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM20,000, percutian ke Dubai berserta trofi.

Sufi ketika mendendangkan lagu ciptaannya berjudul Kisah Dua Muka.

Shahrul atau Muhammad Shahrul Amin Kamarozaman, 19, bagaimanapun terpaksa berpuas hati ditempat terakhir dan menerima hadiah wang tunai RM10,000, percutian ke Dubai berserta trofi.

Senarai pemenang pada malam itu diumumkan oleh pengacara AF 2015, Zizan Razak dan Faizal Ismail.

Pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS bertindak sebagai juri tetap manakala Datuk Aznil Haji Nawawi, Datuk AC Mizal dan Fauziah Datuk Ahmad Daud dijemput pengkritik undangan.

Syamil turut memberikan persembahan bertenaga.

Manakala penyanyi rap, Joe Flizzow dan Stacy bertindak sebagai Juri Juara.

Malam kemuncak Akademi Fantasia turut diserikan dengan persembahan daripada Datuk Sheila Majid, Sada Borneo, Bunkface dan Caliph Buskers.

Akademi Fantasia 2015, Sufi

Artikel Sebelum

Artikel Lain