suria

Tun M Kongsi Rasa Gementar Jadi Pelakon 'Kapsul'

Salah satu adegan lakonan Dr Mahathir (kanan) dan Faizal Hussein dalam Kapsul.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berasa gementar dan terpaksa mengulangi beberapa kali dialog pada babak yang dilakonkannya dalam filem Kapsul.

Mahathir, 90, berkata, beliau diberi skrip dan latihan untuk menghafal dialog beberapa minit sebelum penggambaran berlangsung.

"Sampai sekarang saya masih gementar, saya diberi skrip pada hari penggambaran dan latihan beberapa minit sahaja.

"Secara keseluruhannya, saya ada beberapa kali terpaksa ulang semula lakonan," ujarnya ketika sidang media majlis pra tonton filem Kapsul, di Cineleisure The Curve, di sini, malam Khamis.

Mahathir diminta mengulas mengenai pengalaman pertamanya sebagai pelakon dalam filem Kapsul arahan Allahyarham Martias Ali.

Tun Dr Mahathir (empat dari kiri) bersama isteri (lima dari kiri) dan mereka yang terlibat dalam filem Kapsul. Foto: Shaari Che Mat.

Dalam Filem tersebut Mahathir melakonkan lima babak.

Hadir sama pada pra tonton itu isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, lakonan merupakan perkara yang belum pernah dilakukan selama ini dan sepanjang penggambaran, beliau hanya mengikut arahan yang diberikan pengarah.

"Lakonan adalah perkara yang tidak pernah saya lakukan. Saya meletakkan diri saya sebagai pelakon dan hanya mengikut sahaja arahan pengarah.

"Walaupun masih lagi gementar, namun saya boleh katakan kepada masyarakat saya sudah bergelar pelakon," ujarnya berseloroh.

Sementara itu, ditanya tentang filem tersebut, Mahathir berkata, dia berpuas hati dengan mesej yang disampaikan.

Katanya, filem tersebut berbeza dengan kebanyakkan karya tempatan terutamanya ketika mengimbau zaman silam dan menghargai perjuangan masyarakat dahulu untuk mendapatkan kemerdekaan.

"Saya berpuas hati dengan filem ini dan saya  bangga kerana arwah (Martias) boleh menjangkakan apa yang terjadi seperti yang saya perkatakan.
"Saya juga tegaskan filem ini tiada kaitan dengan politik, tapi tentang perjuangan dan misi Wawasan 2020," ujarnya.

Selain itu, beliau turun berharap agar lebih banyak filem yang memberi inspirasi dan kesedaran kepada masyarakat terutamanya generasi baharu tentang perjuangan mencapai kemerdekaan.

Filem Kapsul diterbitkan oleh Two Tones Sdn Bhd dan dibarisi pelakon seperti Faizal Hussein, Elly Mazlein, Jue Aziz, Zamarul Hisham, Datuk Rahim Razali dan Normah Damanhuri.

Ia mengisahkan mengenai sebuah kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanam oleh Mahathir telah dicuri dan membawa Zohri (Faizal Hussein) kembali ke zaman silam.

Kapsul ini dijangka bakal ditayangkan kepada umum pada 17 September 2015.

Kapsul, Mahathir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain