suria

'Band' Indonesia - Dadali Bertahan Kerana Muzik Jiwang

Kumpulan Dadali. FOTO: S.S.KANESAN

KUALA LUMPUR: Kumpulan Dadali menyifatkan lagu-lagu berunsur jiwang yang ditampilkan memberi kelebihan buat mereka bertahan dalam industri seni muzik Indonesia meskipun ramai penyanyi baharu yang hebat.

Vokalisnya, Dyrga berkata, perkara itu membuatkan mereka kekal dengan konsep muzik berkenaan untuk mengukuhkan kedudukan sebagai penyanyi berkumpulan.

"Sejak penubuhan Dadali pada tahun 2009, kumpulan kami sudah dikenali sebagai penyanyi band jiwang.

"Dan kebanyakan peminat akan mendengar lagu-lagu kami ketika dilanda masalah cinta atau sebelum tidur. Perkara itu membuatkan kami kekal dengan pembawakan muzik Melayu jiwang.

"Syukur, setiap kali lagu kami dikeluarkan, ia akan mendapat perhatian ramai. Perkara itu juga membuatkan kami tidak takut dengan saingan penyanyi-penyanyi hebat yang muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan," katanya kepada mStar Online.


Vokalis Dyrga (tiga dari kiri) bersama anggota kumpulannya.
Dadali yang dianggotai oleh Dyrga, Riclarjd, Yuda, Fadel, Oq dan Rix ditemui pada majlis pelanjaran album baharu Disaat Sendiri dan single berjudul Disaat Aku Tersakiti di Hard Rock Cafe, di sini pada petang Selasa.

Kata Yuda pula, kegagalan mereka menerusi lagu Mimpi Semata yang kurang mendapat perhatian sebelum ini membuatkan lagu tersebut menjadi panduan untuk tidak melebih-lebih dalam penghasilan lagu.

Sementara itu, mengenai album Disaat Sendiri, album tersebut mengandungi sebanyak 10 buah lagu iaitu Bintang, Mendua, Mimpi Semata, Menjadi Pangeranmu, Aku Telah Berdua, Sakit Hatiku, Maafkanlah, Gadis Bukan Perawan, Renungan Malam dan Disaat Sendiri.

Kata Yuda, kebanyakan lagu yang dihasilkan berinspirasikan pengalaman rakan-rakan yang mempunyai masalah cinta dan perhubungan rumah tangga.

"Kami suka berkongsi cerita mengenai pengalaman sendiri dan setiap pengalaman yang dilalui kami akan menjadi inspirasi dalam penghasilan lagu.

"Walaupun album ini sudah dipasarkan sejak tahun lalu, baru kali ini kami berkesempatan untuk membuat pelancarannya.

"Diharap album ini dapat diterima peminat-peminat Malaysia," ujarnya.

Bagi yang ingin membeli album Disaat Sendiri, ia boleh didapati di kedai-kedai muzik seluruh negara.
Dadali

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain