suria

Johan As'ari Pilih Korea Selatan Teruskan Kembara Ilmu

Johan As'ari
SHAH ALAM: Pelakon Johan As'ari berhasrat untuk meneruskan kembara ilmu secara solonya ke Korea Selatan pada masa hadapan dalam misi mengenali agama Islam di luar negara.

Johan, 29, berkata, selepas mengembara ke India dan Bangladesh selama dua bulan baru-baru ini dia tertarik untuk melawat negara yang terkenal dengan K-Pop itu pula bagi mengikuti budaya masyarakat Islam di sana.

"Kembara ke India dan Bangladesh sebelum ini banyak membuka mata saya tentang pelbagai perkara selain dapat mendalami ilmu tentang Islam dan komuniti Muslim di sana.

"Perancangan saya selepas ini, Insya-Allah akan ke Korea Selatan untuk mengenali masyarakat Islam di negara itu," katanya kepada mStar Online.

Johan ditemui di set penggambaran telefilem berjudul Wan Embong arahan Amie Maziah terbitan Zeel Production di Taman Botani Bukit Cerakah di sini, Khamis.

Johan As'ari

Selain Johan, ia turut dibintangi oleh Faizal Hussien, Vanidah Imran, Izreen Azminda dan Neelofa.

Ia bakal disiarkan di slot Cerekarama TV3 pada September depan bersempena Hari Malaysia.

Dalam pada itu, Johan berkata, mengembara secara solo memberi kepuasan berbeza   kerana ia mengajarnya erti berdikari dan tidak hanya bergantung harap kepada orang lain.

Bagaimanapun kata Johan, dia bersyukur kerana kembaranya ke India dipermudahkan dan dipertemukan dengan insan yang sering membantunya.

"Ketika ke India saya bersama seorang teman namun selepas itu saya bergerak solo menaiki kereta api dan bas untuk ke sesuatu kawasan.

"Biarpun rasa takut juga kerana di negara orang tetapi Alhamdulillah saya banyak bertemu dengan individu yang turut menggembara secara solo atau kumpulan yang akhirnya kami menjadi kawan," jelasnya.

Bercakap mengenai perkembangan terbaharunya, Johan berkata, dia bersyukur kerana sejurus selepas pulang dari luar negara dia mendapat tiga tawaran lakonan termasuk telefilem Wan Embong.

Kata Johan, dia tertarik dengan projek berkenaan kerana pernah berlakon disamping semua pelakon yang terbabit dalam drama tersebut.

"Selain jalan cerita dan skrip yang kuat, kesemua pelakon terlibat saya pernah bekerjasama dan ia seperti perjumpaan semula.

"Saya bersemangat hendak memegang watak sebagai Ali dan bertemu dengan semua rakan-rakan," ujarnya.
Johan As'ari

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain