suria

Nur Fatimah Tidak Berhasrat Pulang Ke Malaysia

Nur Fatimah tidak merancang untuk kembali menetap di Malaysia selepas berkahwin dengan warganegara Australia dua tahun lalu.

PETALING JAYA: Penyanyi Nur Fatimah tidak merancang untuk kembali menetap di Malaysia selepas berkahwin dengan Mohammad Jeffry Wain Wright seorang warga Australia dua tahun lalu.

Nur Fatimah, 33, berkata, dia selesa dengan kehidupannya di negara tersebut selain faktor karier suaminya memerlukan mereka berada di sana.

"Saya sudah menetap di Australia sejak 2009 ketika menyambung pengajian dan terus menetap di sana selepas berkahwin dengan Jeffry.

"Setakat ini tiada perancangan untuk kembali ke Malaysia memandangkan suami bekerja tetap namun akan sentiasa pulang ke Malaysia untuk bertemu keluarga dan urusan kerja," katanya kepada mStar Online.

Nur Fatimah sebelum ini menyambung pengajian di Institut SEA Sdyney dalam jurusan Ijazah Kejuruteraan Audio.

Penyanyi itu berkahwin dengan Jeffry selepas bertemu di sebuah kafe di Sdyney sebelum mengambil keputusan bernikah sembilan bulan kemudian. 

Nur Fatimah bersama suaminya, Mohammad Jeffry Wain Wright.

Dalam pada itu, Nur Fatimah berkata, bagi mengurangkan rasa rindu terhadap keluarga di Malaysia, dia banyak melakukan aktiviti komuniti bersama jiran-jirannya sejak berkahwin.

Malah ada di antara mereka rakyat Malaysia dan sering berkumpul untuk melakukan pelbagai aktiviti.

"Saya kini tinggal di Canberra, Sydney iaitu sebuah kawasan sama seperti Putrajaya malah pejabat suami juga hanya 10 minit berjalan kaki dari rumah.

"Bagi mengelakkan saya berasa bosan dan rindu pada Malaysia saya banyak bercampur gaul dengan jiran-jiran selain melakukan aktiviti komuniti bersama mereka," katanya.

Sementara itu, Nur Fatimah berkata, biarpun bergelar suri rumah sepenuh masa namun dia masih aktif menulis lirik dan mencipta lagu pada waktu lapang.

"Saya masih aktif menyanyi selain mencipta lagu dan menulis lirik malah akan pulang ke Kuala Lumpur sekiranya ada undangan nyanyian," jelasnya yang baharu sahaja melancarkan single berjudul Mawar.


Nur Fatimah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain