suria

Nita Hamzah Tidak Percaya Pengurus Selepas Ditipu

Nita Hamzah. Foto MUHAMAD SHAHRIL ROSLI

PETALING JAYA: Penyanyi Nita Hamzah menyifatkan bergelar selebriti tanpa menggaji seorang pengurus adalah lebih mudah terutamanya apabila berurusan dengan pihak luar.

Nita, 35,  berkata, kebanyakan individu yang ingin menjadi pengurusnya mempunyai agenda untuk menipu dan kerana itu dia lebih selesa bergerak sendiri.

"Sejak saya tidak bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman beberapa tahun lalu, saya lebih selesa menggerakkan kerjaya nyanyian saya secara sendiri. Apa yang saya lihat kebanyakan orang suka mengambil kesempatan kononnya mahu menguruskan artis tetapi sebenarnya tidak.

"Baru-baru ini saya telah ditipu seseorang yang menguruskan persembahan saya bagi sebuah majlis. Sehingga hari ini saya masih belum dapat duit hasil kerja saya itu. Ia menjadi satu pengajaran besar untuk lebih berhati-hati jika mahu berurusan dengan pihak ketiga jika ada undangan persembahan yang ditawarkan," katanya kepada mStar Online.



Nita ditemui pada majlis sidang media bazaar Klang Spring Cultural Festival GM Klang di Talent Lounge di sini pada Isnin.

Bagaimanapun Nita berkata, dia hanya mempercayai beberapa orang tertentu sahaja di mana mereka menyediakan kontrak bagi setiap urusan yang dibuat.

Sementara itu, mengenai perkembangan terkini, Nita sedang mengumpul wang untuk muncul dengan single lagu baharu.

Kata Nita, dia juga sedang mencari material lagu yang sesuai untuknya.

"Sekarang ini bukan mudah untuk muncul dengan lagu baru kerana saya perlu meneliti trend lagu terkini yang sentiasa berubah.

"Pada masa sama lagu itu juga perlu sesuai dengan umur dan suara saya. Jadi saya perlu cari karya yang betul-betul sesuai sementara nak kumpul duit untuk hasilkan lagu baru," ujarnya.

Sementara itu, Nita turut menjalani perniagaan kecil menjual produk kecantikan Bee Venom di akaun Facebook miliknya.
Nita Hamzah

Artikel Lain