suria

Nora Danish Jadikan Kekasih Sebagai 'Bodyguard'

Nora Danish. Foto SHAARI CHE MAT

PETALING JAYA: Pelakon Nora Danish menyifatkan kekasihnya iaitu Nedim Nazri diibaratkan sebagai pengawal keselamatan yang sentiasa mahu menemaninya ketika berada di lokasi penggambaran atau mana-mana majlis tertentu.

Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif, 33, berkata, ia merupakan langkah berjaga-jaga kerana bimbang mengenai keselamatan diri sejak isu wajahnya digunakan oleh pihak pengganas yang menentang sistem pengadilan kerajaan negara pada Februari lalu.

"Saya bawa dia sebagai bodyguard (pengawal keselamatan) ketika berada di luar kerana ia merupakan langkah berjaga-jaga untuk saya kerana masih bimbang dengan kes ugutan yang diterima dulu.

"Sebenarnya saya takut nak ke mana-mana kerana isu tersebut tetapi kalau boleh  tidak mahu fikirkan sangat.

"Dulu saya keluar bersama pembantu perempuan sahaja tetapi kali ini ada lelaki yang teman jadi ia akan membuatkan saya rasa lebih selamat dan dia boleh bantu jika sesuatu yang terjadi," katanya kepada mStar Online.

Nora bawa kekasih ke mana-mana agar keselamatannya dijaga.

Nora ditemui pada majlis tayangan perdana filem terbaharu berjudul Suami Aku Ustaz yang diadakan di di Cathay Cineplex, di sini, malam Selasa.

Pada awal Februari lalu, terdapat klip video berdurasi kira-kira seminit mengugut untuk mengadakan bantahan terhadap sistem keadilan negara di mahkamah pada 18 Februari 2015 yang dimuat naik sekumpulan empat lelaki bertopeng.

Kumpulan yang menggunakan ID pengguna YouTube ‘isis malaysia 69′ itu turur menggunakan gambar aktres tersebut ketika membuat ucapan bantahan tersebut.

Sementara itu, Nora berkata, walaupun hubungan cintanya bersama Nedim semakin kukuh, namun mereka masih belum merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat ini.

"Kami masih merancang untuk berkahwin kerana siapa tidak mahu ke arah itu.

"Saya dan dia sudah mempunyai pengalaman berkahwin dan mempunyai anak jadi tidak terkejar-kejar kearah itu kerana kami ingin memberi fokus terhadap kerjaya terlebih dahulu bila dah bersedia kami akan umum," jelasnya lagi.

Barisan pelakon Suami Aku Ustaz

Suami Aku Ustaz menceritakan tentang Alisa dipaksa bernikah dengan sepupunya merangkap guru agama di sekolah menengahnya apabila ibu bapanya ingin mengerjakan haji.

Dilema bermula setelah mereka berkahwin apabila Alisa  perlu menyembunyikan statusnya di sekolah daripada diketahui oleh orang lain termasuk rakan baiknya sendiri.

Filem yang diarahkan Ghaz Abu Bakar bersama Adi Putra  dibintangi oleh pelakon Izzue Islam, Betty Rahmad, Jue Aziz, Liza Abdullah, Razak Ahmad dan Kamaliah Mat Don.

Filem itu bakal ditayangkan pada 14 Mei ini.
Nora Danish, Nedim Nazri

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain