suria

Hafiz Hamidun Rugi Hampir RM100,000

Hafiz Hamidun menunjukkan album barunya, I Love Rasulullah.
KUALA LUMPUR: Penyanyi Hafiz Hamidun kerugian hampir RM100,000 apabila berlaku kebocoran pada siling di butik pakaian miliknya iaitu Mikraj Concept di Empire Damansara dekat sini sehingga dilimpahi air.

Hafiz, 31, berkata, keadaan itu membuatkan terpaksa memindahkan kesemua barangan jualan pada 31 Mac lalu di pejabat syarikat rakamannya iaitu Arteffects International di Neo Damansara.

"Butik itu beroperasi sejak September tahun lalu dan masalah siling bocor memang selalu timbul.

"Tetapi pihakpengurusan buat acuh tidak acuh dengan masalah itu dan paling teruk butik saya umpama kawasan air terjun.

"Saya kecewa dengan sikap mereka yang langsung tidak bertanggungjawab," katanya kepada mStar Online.

Hafiz Hamidun

Hafiz ditemui pada majlis pelancaran album terbaharunya iaitu I Love Rasulullah di Hotel Royale Chulan di sini pada Isnin.

Beritahu Hafiz, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap pengurusan pusat beli belah berkenaan sekiranya mereka masih lagi enggan bertanggungjawab.

Sementara itu, mengenai album I Love Rasulullah, ia memuatkan sebanyak sembilan lagu iaitu Penyelamat, Habeeb, Bukti Cintaku, Lawkana Bainana, Kasih Padamu, Sollu Ala Khairil Anam, Pemergian Rasul, Ya Rasul dan Tolaal Badru Alaina.

Kata Hafiz, album tersebut mempunyai kelainan berbanding sebelumnya kerana ia lebih terarah kepada konsep pop.

"Alhamdulillah, sejak diedarkan di pasaran seluruh Malaysia, angka jualan album mencecah 13,000 unit.

"Mungkin kerana pasarannya berkonsepkan digital seperti di iTunes, Spotify, Deezer, Kkbox dan portal CD Nasyid membuatkan album ini laku. Alhamdulillah," ujarnya.

Sementara itu Hafiz akan mengadakan konsert jelajah di lima lokasi di Pulau Pinang, Kota Bharu, Kelantan, Shah Alam, Kuching, Sarawak dan Johor Bharu pada Ogos depan.
Hafiz Hamidun

Artikel Lain