suria

Bukan Mahu Menggatal, Ifa Raziah Terkilan Teguran Rosyam Nor

Ifa dikritik oleh peminat termasuk juri program Gegar Veganza, Datuk Rosyam Nor ekoran persembahannya yang turut menampilkan aktor Hisyam Hamid dianggap keterlaluan.

PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Ifa Raziah terkilan dengan komen diberikan salah seorang juri program Gegar Vaganza iaitu Datuk Rosyam Nor yang menyifatkan persembahannya pada peringkat akhir itu tidak sesuai untuk ditonton oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Ifa atau nama sebenarnya, Saripah Raziah Mustapha, 38, berkata, sebagai seorang pelakon berpengalaman Rosyam sepatutnya sedar adegan peluk yang dilakonkan bersama aktor Hisyam Hamid menerusi lagu Matahari adalah sekadar lakonan semata-mata.

"Saya terima dengan hati terbuka komen dibuat oleh Rosyam cuma berasa sedih kerana beliau sendiri seorang pelakon berpengalaman yang sepatutnya faham apa yang saya lakukan itu hanyalah lakonan dan sebahagian daripada persembahan.

"Tidak terlintas dihati saya hendak menggatal dengan Hisyam mahupun menimbulkan situasi kurang senang dikalangan penonton atau juri kerana setiap minggu saya memang tampil dengan perceritaan menerusi lakonan dalam nyanyian saya.

Hisyam Hamid muncul ketika Ifa menyampaikan lagu Matahari.

"Sesiapa yang mengikut program tersebut pasti tahu yang saya setiap minggu akan menyelitkan lakonan dalam persembahan saya malah ada lebih dahsyat saya buat berbanding peringkat akhir ini," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Isnin.

Gegar Vaganza menyaksikan penyanyi Ayai (Illusi) diumumkan sebagai juara pada acara yang diadakan secara langsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil dekat sini pada malam Ahad lalu.

Ayai berjaya menewaskan lima peserta akhir lain iaitu Ifa Raziah, Fazli Zainal, Haleeda, Rahmat (Mega) dan Mamat Exist sekali gus berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000 dan sebuah trofi.

Ifa mendapat tempat kelima dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan trofi.

Dalam rancangan itu, Rosyam menegur cara Ifa mempersembahkan aksinya dengan memeluk Hisyam.

Dalam pada itu, Ifa mengakui selepas menonton kembali persembahan tersebut dia menyedari terdapat beberapa kesilapan gerakan tarian bersama Hisyam yang membuatkan penonton kurang senang dengannya.

Ifa memberikan persembahan bertenaga biarpun kesihatannya terjejas.

Jelas Ifa, kesilapan tersebut berlaku disebabkan kurang konsentrasi dan tekanan akibat masalah teknikal yang berlaku pada persembahan sebelumnya.

"Sepatutnya selepas selesai menyanyi baharu saya angkat kaki dan menjatuhkan badan ke arah Histam tetapi saya tersilap dan pergerakan itu berlaku terlalu awal.

"Akibat tekanan saya tidak ingat apa yang berlaku di atas pentas dan memahami mengapa penonton kurang senang dan atas dasar itu saya ingin memohon maaf atas kesilapan yang berlaku dan ia bukan disengajakan," katanya.

Bagaimanapun kata Ifa, dia berharap penonton berfikiran positif selain dapat menilai persembahannya pada malam itu sebagai satu seni persembahan dan bukannya memikirkan perkara yang tidak elok kerana itu bukan niatnya.

Sementara itu, Ifa berkata, persembahan menerusi lagu nyanyian asal Agnes Monica itu berinspirasikan daripada filem Frozen yang memperlihatkan dia sebagai puteri yang diselamatkan oleh putera impiannya.

Jelas Ifa, adegan bersama Hisyam sebenarnya lebih kepada tarian balet dan kekangan waktu menjalani latihan turut menjadi penyebab aksi itu kelihatan keterlaluan pada sesetengah penonton.

"Kami hanya dapat bertemu untuk berlatih di bilik solek pada sebelah petang hari pertandingan dan dalam masa suntuk itu kami reka jalan cerita dan tarian bakal dipersembahkan.

Rosyam Nor
"Biarpun tidak cukup waktu namun saya hargai kesungguhan Hisyam yang profesional dan saya berpuas hati dengan komitmen diberikan pada malam itu," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Ifa berkata, dia tidak terkilan gagal memenangi trofi juara program itu kerana dia sendiri tidak menyangka dapat melunaskan tanggungjawb pada malam itu kerana masalah kesihatan yang dihadapinya sejak beberapa minggu lalu.

Kata Ifa, biarpun doktor melarangnya daripada meneruskan persembahan namun dia tetap berkeras kerana tidak mahu menghampakan peminat yang sentiasa menyokong pembabitannya menerusi program tersebut.

"Jika hendak diikutkan memang saya tidak larat untuk membuat persembahan kerana masih mengalami batuk ekoran jangkitan paru-paru yang dihadapi sebelum ini namun saya gagahkan juga diri demi penyokong saya.

"Alhamdulillah biarpun tidak menang tetapi saya sudah membuktikan kepada semua bahawa saya bukan sekadar penyanyi dangdut tetapi boleh merentasi genre lain," jelasnya.

Pada 27 Disember lalu Ifa disahkan mengalami jangkitan paru-parunya atau pneumonia dan terpaksa di tahan di Pusat Perubatan Colombia, Setapak, dekat sini untuk pemeriksaan lanjut.
Ifa Raziah, Gegar Vaganza, Rosyam Nor

Artikel Lain