suria

Kurang Tampan Punca Hazama Tiada Tawaran Duta Produk

Hazama tidak pernah berkecil hati apabila kurang menerima tawaran sebagai duta produk.

PETALING JAYA: Penyanyi Hazama mengakui jarang menerima tawaran daripada mana-mana syarikat yang mahu memberi peluang untuknya menjadi duta atau jurucakap mana-mana produk berikutan tidak memilki wajah tampan.

Bagaimanapun Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 30, berkata, dia tidak pernah berkecil hati dengan situasi itu kerana ia mungkin bukan rezeki baginya.

"Diakui, tidak banyak syarikat yang inginkan saya menjadi duta produk mereka. Tetapi saya tak berkecil hati kerana fokus utama saya adalah membina nama sebagai seorang penyanyi dan bukannya menjadi duta produk.

"Cuma ia sekadar satu bonus buat seseorang artis jika mendapat tawaran itu. Dan memandangkan trend sekarang banyak produk kecantikan memutihkan muka di pasaran, 'muka pecah' macam saya ini, ada ke orang nak saya jadi duta? Hahaha..." boraknya dengan nada bergurau.

Tambah Hazama, walaupun jarang menerima tawaran menjadi duta produk, dia tetap akan memilih produk yang sesuai sekiranya ada syarikat yang ingin memberikan tawaran itu.

Kata penyanyi lagu Penglipur Lara itu, dia enggan produk yang diwakilinya nanti boleh menjejaskan reputasinya sebagai penyanyi.

"Dulu penyanyi Zainal Abidin pernah berkata, sebelum menerima tawaran menjadi duta (produk), penting untuk seseorang itu memilih adakah produk berkenaan sesuai dengan imej yang kita bawa atau tidak.

"Bayangkan, saya pernah mendapat tawaran daripada sebuah syarikat yang menjual kopi kesihatan untuk orang yang sudah berkahwin. Saya menolaknya dengan baik, kerana sebagai orang yang belum berkahwin, rasanya tidak relevan untuk saya menjadi duta produk tersebut," ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Hazama kini muncul dengan single terbaharu berjudul Al Nurra menampilkan penyanyi Mawi.

Hazama turut tercalon pada pertandingan separuh akhir Muzik-Muzik Ke-29 (MM29) menerusi lagu Malaikat pada 14 November ini.

Hazama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain