suria

Tepis Gosip Bercinta Dengan Anak Datuk K, Nina Iskandar Pilih Ahli Perniagaan

Nina Iskandar akui bakal bertunang dengan jejaka yang dikenalinya pada November lalu.
PETALING JAYA: Pelakon baharu, Nina Iskandar mengesahkan  bakal bertunang dengan  seorang ahli perniagaan dari Kelantan pada Ogos depan.

Bagaimanapun Nina, 23, menegaskan bakal tunangannya itu bukanlah seperti yang diperkatakan ramai kononnya anak tiri kepada penyanyi Datuk Siti Nurhaliza iaitu Adib Khalid, 24.

"Benar saya akan bertunang dengan kekasih saya pada Ogos ini tetapi bukannya dengan Adib seperti yang digosipkan sejak akhir-akhir ini.

"Kekasih saya bernama Ahmad Heikal, berusia 30 tahun dan kami berkenalan pada November tahun lalu. Alhamdulillah, kedua-dua keluarga gembira dengan perhubungan ini, katanya.

Nina ditemui pada majlis pra-tonton filem Lu, Gua, Bro  terbitan Metrowealth International Group (MIG) di TGV Sunway Piramid, di sini pada malam Isnin lalu.

Tambah Nina, walaupun nekad mengikat tali pertunangan namun pelakon kelahiran Brunei ini belum merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat kerana mahu mengembangkan kerjaya lakonannya sebelum mendirikan rumah tangga.

"Saya baru berada setahun dalam dunia seni lakonan dan terlalu banyak perkara yang harus saya asah untuk menjadi pelakon yang baik.

"Setakat ini kami hanya merancang untuk bertunang dan belum terfikir untuk berkahwin dalam terdekat. 

"Banyak perkara yang perlu diterokai sebelum mahu bergelar isteri," ujarnya.

Sementara itu, Ahmad yang turut berada pada majlis pra-tonton filem tersebut berkata, dia mahu Nina berhenti daripada dunia lakonan apabila berkahwin nanti.

"Jujurnya saya rasa Nina tidak perlu berlakon lagi selepas bergelar isteri kerana saya mampu menjaganya.

"Walaupun kerjaya seni adalah minatnya, mungkin dia boleh beralih ke bidang pengacaraan pula," ujarnya.

Nina Iskandar, Lu Gua Bro

Artikel Lain