suria

Jihan Musa Tidak Letak Sasaran Untuk Berumah Tangga

PETALING JAYA: Pelawak Jihan Musa memberitahu enggan meletakan sasaran umur untuk membina rumah tangga biarpun mengakui mempunyai teman istimewa.

Jihan atau nama sebenar, Nuur Jihan Musa 31, berkata, dia tidak mahu terlalu merancang ke arah itu dan bercerita tentang hubungan cinta tersebut sebelum semuanya pasti.

"Tiada apa yang saya boleh beritahu kerana saya belum merancang untuk berkahwin lagi setakat ini.

"Dulu memang ada sasaran berkahwin pada umur 23 tetapi sudah terlepas hingga umur sudah masuk 30an dan saya menyerahkannya pada takdir sahaja," katanya kepada mStar Online.

Jihan mengakui sedang berkawan dengan bekas peserta program Pilih Kasih musim kedua, Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli, 29, sejak daripada bangku sekolah lagi.

Tambahnya, buat masa ini, mereka lebih menumpukan perhatian dalam membina kerjaya terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan mendirikan rumah tangga.

Kata Jihan, dia bersyukur mempunyai keluarga yang tidak memberikan tekanan kepadanya untuk mengakhiri zaman bujang.

"Alhamdulillah keluarga saya sangat memahami dan tidak pernah memaksa saya untuk berkahwin begitu juga keluarga lelaki," katanya.

Dalam perkembangan lain, Jihan berkata kumpulan lawak SYJ yang dianggotainya bersama Yasin dan Shuk akan terus dikekalkan.

Katanya, mereka dalam perancangan mengadakan program jelajah di beberapa negeri bersama beberapa pelawak lain.

"Selepas tamat program Maharaja Lawak Mega, kami buat keputusan untuk terus mengekalkan kumpulan ini jika ada permintaan.

"Isya-Allah kami dengan beberapa kumpulan lain dalam perancangan untuk mengadakan persembahan jelajah di beberapa negeri tidak lama lagi," katanya.

jihan musa pelawak kahwin

Artikel Berikut

Artikel Lain