suria

Chef Wan Terus Kritik Jika Makanan Warisan Tidak Sempurna

Chef Wan
Chef Wan

PETALING JAYA: Chef selebriti Datuk Mohd Redzuawan Ismail atau Chef Wan akan terus mengkritik mana-mana makanan warisan negara yang dihasilkan tanpa mengikut resipi sebenar.

Chef Wan berkata, tindakan itu adalah bagi memastikan makanan warisan di negara ini terjamin mutunya dan tidak memberi persepsi buruk kepada pelancong luar.

"Saya tidak memberi komen tanpa sebab sebaliknya saya mahu pihak-pihak tertentu ambil berat tentang hidangan yang mereka sajikan kerana ia melambangkan sesebuah negara.

"Saya tidak mahu orang luar memberi persepsi buruk kepada makanan-makanan warisan kita yang tidak disajikan mengikut standard yang betul," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.

Chef Wan berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan beliau menerusi laman Instagram miliknya minggu lalu terhadap hidangan nasi lemak oleh Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang dianggapnya tidak sempurna dan memalukan.

Dalam komennya itu Chef Wan berkata, perjalanannya dari Kuala Lumpur ke Bangkok amat memeranjatkan apabila syarikat penerbangan berkenaan menghidangkan nasi lemak sambal dan telur yang tidak mencerminkan hidang sebenar makanan warisan itu.

Beliau turut menggelarnya sebagai 'nasi lemak telanjang'.

Selepas kritikan itu pihak MAS telah mengeluarkan satu kenyataan untuk mengambil tindakan segera bagi meningkatkan mutu perkhidmatan mereka.

Dalam satu laporan mStar Online pada Disember lalu, Chef Wan turut mengkritik sebuah restoran di hotel lima bintang kerana kegagalan menyediakan resipi laksa nyonya yang sebenar.

Dalam pada itu sebagai Duta Pelancongan Makanan Malaysia Chef Wan berkata beliau turut bertanggungjawab memastikan resipi dan hidangan makanan warisan disediakan dengan betul bagi melambangkan imej negara ini.

"Saya sudah mengelilingi banyak negara untuk mempromosikan makanan warisan kita, tapi pihak-pihak tertentu di negara sendiri tidak menjaganya dengan betul,” katanya yang turut bercakap mewakili penumpang lain.

Ujar Chef Wan, beliau tidak mahu ambil tahu masalah yang dihadapi MAS untuk menyediakan makanan berkenaan tetapi pihak tersebut hendaklah mengambil langkah memperbaiki kelemahan yang sedia ada.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain