suria

Raja Azmi Enggan Buat Filem Kerana Lambakan Karya Tidak Berkualiti

Raja Azmi
Raja Azmi

PETALING JAYA: Produser filem kontroversi Raja Azmi Raja Sulaiman mengakui tidak akan menerbitkan sebarang filem kerana tidak mahu mengambil risiko terhadap industri filem tempatan yang semakin tenat.

Bagaimnapaun, Raja Azmi, 55, berkata, dia akan kembali semula menerbitkan filem setelah keadaan pasaran filem benar-benar pulih.

"Buat masa sekarang saya tidak akan menerbitkan sebarang filem memandangkan industri yang semakin tenat, tapi ini tidak bermakna saya berhenti terus daripada menerbitkan filem.

"Saya akan kembali semula selepas pihak-pihak bertanggungjawab menyelesaikan masalah ini dan keadaan pulih serta penonton kembali semula ke panggung menyaksikan filem tempatan," katanya kepada mStar Online.

Tambahnya, perkara ini dilihat semakin serius apabila tiada sebarang kawalan terhadap kualiti sesebuah filem yang akan dikeluarkan.

Jelasnya, kini terlalu banyak filem yang tidak mencapai kualiti yang sepatutnya untuk layak berada di panggung.

"Bila tiada sebarang kawalan kualiti, maka banyak filem yang tidak layak untuk berada di pawagam.

"Penonton pula tidak mahu ke panggung kerana jemu dengan filem yang ditayangkan dengan genre yang sama sahaja, sehingga segelintir mereka telah meletakkan persepsi yang negatif terhadap filem-filem Melayu," katanya.

Sementara itu, bercerita tentang filem kontroversi Anak Ikan yang ingin diterbitkannya, Raja Azmi berkata, Anak Ikan akan dijadikan sebuah telefilem untuk sebuah stesen televisyen.

Selain itu, dalam perkembangan lain, Raja Azmi berkata, dia kini sedang sibuk dengan perancangan membawa konsert Gelombang Salamiah ke Singapura.

Artikel Lain