suria

Nabila Luangkan Masa Bercuti, Enggan Ada Komitmen

Nabila bersama anaknya Keisha. Foto; Rohaizat Md Darus
Nabila bersama anaknya Keisha. Foto; Rohaizat Md Darus
Nabila bersama anaknya Keisha. Foto; Rohaizat Md Darus

KUALA LUMPUR: Pelakon Nabila Huda mengakui statusnya sebagai ibu tunggal memudahkan dia mencari ruang masa untuk melakukan aktiviti kegemarannya seperti bercuti ke luar negara.

Nabila atau nama sebenarnya Nabila Huda Suhaimi, 29, berkata, dia mula aktif dalam aktiviti tersebut sejak tahun lalu dan pernah menjelajah ke beberapa tempat antaranya Lombok, Indonesia, Afrika, Pulau Boracay, Filipina, Rom, Itali serta beberapa lokasi lain.

"Sebenarnya memang daripada dulu lagi saya suka bercuti dan mengenali masyarakat negara yang dikunjungi itu.

"Untuk kelainan, saya lebih gemar bercuti di tempat-tempat yang jarang dikunjungi oleh orang Asia dan rasanya saya mula kembali ligat bercuti sejak awal tahun lalu.

"Keadaan saya yang berstatus “solo” ini juga memudahkan saya untuk bergerak ke mana-mana tanpa perlu memikirkan perasaan orang lain. Ya lah, apabila sudah ada teman istimewa, semestinya banyak perkara yang perlu dijaga agar tiada hati yang terluka," katanya.

Tambah Nabila, buat masa ini dia enggan memikirkan sebarang perhubungan yang memerlukan komitmen tetapi hanya ingin fokus kepada kerjaya lakonan, anaknya yang bernama Keisha Laila selain merancang beberapa lokasi percutian unik pada tahun ini.

Sementara itu, Nabila telah diberi kepercayaan daripada pereka fesyen terkenal Alia Bustamam bagi memperagakan pakaian rekaan terbarunya.

"Saya sukakan sesi fotografi dan sekarang ini saya semakin mendekati dunia fesyen.

"Rasa seronok sangat apabila Alia Bustamam meminta saya memperagakan koleksi baju-baju rekaannya," ujar Nabila.

Dalam perkembangan lain, lakonan Nabila dapat ditonton menerusi drama Janji Shirah yang akan di siarkan setiap Ahad (bermula Ahad lalu), pukul 9 malam di TV3.

Drama 13 episod itu mengisahkan seorang penuntut kolej bernama Shirah (Nabila) mempunyai seorang teman lelaki bernama Luqman (Airiel Zafril) di mana lelaki itu turut menjadi idaman teman baiknya, Mira.

Kakak Shirah meninggal dunia akibat penyakit barah otak dan dia dibebani tanggungjawab menyara tiga anak buahnya.

Selain Nabila dan Airel turut membintanginya ialah Iqram Dinzley, Ako Mustafa, fauzi Nawawi, Zarina Zainordin, Arfah Damanhuri dan Sherry Merlis.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain