suria

'Jangan Bertengkar', Taruhan Baru Kangen Band

ARTIS: Kangen Band

ALBUM: Jangan Bertengkar

EDARAN: Warner Music Indonesia

SELEPAS dua tahun menyepi, penyanyi berkumpulan Indonesia Kangen Band kembali lagi menemui peminat menerusi album terbaru berjudul Jangan Bertengkar.

Kumpulan yang dianggotai oleh Andika (vokalis), Dodhy (gitar), Thama (gitar), Lim (drum), Izzy (keyboard) dan Bebe (pemain bass) ini mempersembahkan sebanyak 12 buah lagu yang tentunya menggamit jiwa para pendengar.

Jika dahulu kumpulan ini mencuri hati peminat muzik tanah air menerusi lagu Terbang Bersamaku dan Pujaan Hati, album kali ini tentunya menjanjikan sesuatu yang tidak kurang hebat.

Ia mempersembahkan eksplorasi lirik dan nada yang lebih mantap dan bait lirik lagu-lagu Kangen Band tentu sajamampu membuai sanubari si pendengar.

Manakala, alunan suara lunak Andhika dengan sokongan audio muzik yang berkualiti dalam album ini juga merupakan antara unsur penting yang dititik-beratkan.

Elemen muzik yang diterapkan pula secara keseluruhannya adalah lebih matang, sekaligus mempersembahkan Kangen band sebagai band yang dewasa dalam berkarya.

Malah album ini tampil dengan lagu-lagu melankolik oleh tiga komposer utamanya iaitu Tama, Dodhy dan Andi Bayou selaku penerbitnya juga.

Mempertaruhkan jangan Bertengkar Lagi sebagai single terbaru mereka, irama syahdu yang disampaikan menerusi ciptaan Dodhy ini begitu meruntun jiwa.

Menerusi susunan muzik yang sederhana, lagu ini sangat mudah diterima tambah pula dengan mengekalkan 'mood' romantis yang begitu sinonim dengan identiti Kangen Band, lagu ini semestinya sebuah lagi garapan istimewa oleh kumpulan ini

Buat para peminat, anda tentunya bakal jatuh cinta dengan lagu-lagu bahagia bertema balada dalam album ini seperti Sampai Langit tertutup dan Cinta Terlarang.

Kedua-dua lagu ini menampilkan bait-bait indah yang penuh dramatis. Olahan muzik yang mengiringi lirik-lirik ini begitu rapi, disusun dengan melodi cinta yang begitu membuai jiwa…

Jangan Bertengkar kali ini didatangkan dengan hadiah menarik di mana peminat bertuah berpeluang menikmati percutian percuma ke luar Negara.

Lima orang pembeli album bertuah yang mendapat 'Golden Ticket' bakal memenangi sepasang tiket penerbangan ke Indonesia yang bernilai RM1000

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain