suria

Farawahida Banyak Belajar Urus Diri Selepas Kontroversi

Farawahida.
Farawahida.
Farawahida.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Farawahida mengakui banyak belajar menguruskan kerjaya seninya secara sendirian selepas dilanda kontroversi dengan bekas pengurusnya kira-kira dua tahun lalu.

Farawahida berkata, dia lebih yakin selepas dapat belajar pelbagai perkara mengenai selok-belok bidang muzik sedirian yang sebelum ini hanya dipandang ringan.

"Sebelum ini saya hanya saya tahu pergi ke studio, rakamkan lagu dan balik. Selebihnya diserahkan kepada orang lain untuk menguruskannya.

"Insiden tersebut setidak-tidaknya telah mengajar saya banyak perkara terutamanya dalam mengukuhkan karier seni saya sendiri dan belajar membuat keputusan," katanya ketika ditemui mStar online.

Farawahida ditemui ketika hadir pada majlis pelancaran Pertandingan Bintang RTM di Angkasapuri di sini, Isnin.

Tambah penyanyi lagu Tanpamu ini, dia kini lebih selesa bergerak secara solo dalam bidang seni tanpa diuruskan sesiapa dan tidak bercadang untuk bernaung di bawah mana-mana syarikat pengurusan buat masa ini.

"Biarlah saya berdikari buat ketika ini kerana jika ada apa-apa urusan pihak penganjur atau media boleh berhubung saya terus tanpa perlu melalui pihak pengurusan.

Dalam pada itu, Farawahida memberitahu dia teruja apabila filem lakonannya berjudul Baik Giler yang telah menjalani penggambaran pada tahun 2010 akhirnya bakal ditayangkan pada bulan Jun depan.

Filem itu turut menampilkan pelakon seperti Zizan (Raja Lawak), Sharifah Shahira, Awie dan Abon.

Farawahida berkata, walaupun ada menerima beberapa tawaran berlakon selepas filem itu tetapi dia mengambil keputusan untuk menolaknya kerana ingin menunggu hasil akhir Baik Giler.

"Saya tidak mahu terlalu yakin dengan bakat lakonan yang ada kerana saya hendak tunggu dulu hasil pertama ini keluar dan tengok bagaimana maklum balas daripada penonton.

"Jika mereka menyukainya saya akan menerima tawaran lain yang diberikan selepas ini," katanya.

Sementara itu, Farawahida yang sedang hangat dengan lagu Jangan Tanya Aku Lagi memberitahu masih lagi mempromosikan lagu tersebut dan sedang merancang untuk muncul dengan buah tangan baru.

Namun dia tidak mahu terburu-buru kerana perlu mencari material dan muzik yang baik supaya dapat diterima oleh peminat.

"Oleh kerana kos itu nanti akan dikeluarkan sendiri oleh saya jadi perlu lebih berhati-hati dalam memilih lagu kerana banyak faktor yang perlu diambil kira," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain