suria

Shazroul Naib Juara Pertandingan Nyanyian Negara Asia

Shazroul (kanan) mendapat tempat kedua dalam pertandingan Asian Television Melody Festival di Ho Chi Minh City, Vietnam.
Shazroul (kanan) mendapat tempat kedua dalam pertandingan Asian Television Melody Festival di Ho Chi Minh City, Vietnam.
Shazroul (kanan) mendapat tempat kedua dalam pertandingan Asian Television Melody Festival di Ho Chi Minh City, Vietnam.

PETALING JAYA:Penyanyi Shazroul menganggap kemenangannya di tempat kedua (kategori pop) pertandingan nyanyian Asian Television Melody Festival di Ho Chi Minh City, Vietnam pada awal Mac lalu sebagai pembakar semangat untuk dia terus berjaya dalam bidang seni.

Walaupun sedar namanya tidaklah sepopular penyanyi-penyanyi lain yang sedia ada, Shazroul yang pernah menyertai pertandingan Akademi Fantasia keempat (sehingga ke peringkat konsert prelude) berharap, kemenangan itu boleh dijadikan sebagai satu platform untuknya meningkat popular.

"Alhamdulillah, penyertaan saya dalam pertandingan itu pada awalnya hanyalah sekadar ingin melihat sejauh mana tahap kebolehan diri, tak sangka pula saya pulang dengan hadiah, sekali gus dapat mengharumkan nama negara.

"Diakui, saya agak kecewa sedikit apabila kemunculan album pertama saya berjudul Cuma Satu pada tahun 2009 kurang mendapat sambutan. Tetapi kejayaan ini memberi satu semangat yang baru untuk saya," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.

Shazroul yang pertama kali menyertai pertandingan itu berjaya membawa pulang sebuah trofi dan wang tunai sebanyak USD1,500 (RM4,622). Ia diadakan pada 2 Mac hingga 10 Mac lalu.

Selain Shazroul, seorang wakil negara, Fify Emylia turut memenangi pertandingan tersebut di bawah kategori folk dengan mendapat tempat ketiga.

Menerusi pertandingan itu Shazroul membawa lagu Someone Like You nyanyian asal Adele.

Beritahu pemilik nama Shazroul Fazlie Zahari ini lagi, kemenangan tersebut juga membuktikan bahawa seseorang itu boleh berjaya mengikut impian yang diinginkan walaupun tiada populariti yang diraih di tempat sendiri.

"Saya percaya, tidak popular bukannya bermakna kita gagal. Alhamdulillah sehingga kini walaupun orang ramai tidak mengenali saya, tetapi tawaran nyanyian sentiasa ada.

"Jadi, biarlah saya mengasah bakat sebaik mungkin dan jika muzik kita bagus, semestinya orang akan mula tertarik dengan apa yang saya tonjolkan," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain