suria

Johan Raja Lawak Mahu Tambah Anak

Johan (Raja Lawak)
Johan (Raja Lawak)
Johan (Raja Lawak)

KUALA LUMPUR: Pelawak dan pengacara Johan (Raja Lawak) meluahkan hasratnya untuk menumpukan lebih banyak perhatian kepada keluarga pada tahun ini memandangkan dia terlalu sibuk dengan jadual seni sepanjang tahun lalu.

Johan atau nama sebenarnya Muhammad Yazid Lim Mohd Aziz, 28, berkata jika diizinkan Tuhan dia dan isterinya yang juga pelakon Rozlinawaty Ismail, 31, (Ozlyn Wati) merancang untuk menambah bilangan anak.

“Saya terlalu sibuk sepanjang tahun lalu sehinggakan waktu bersama keluarga begitu terhad. Pada tahun ini, saya mahu mengutamakan keluarga dan hanya memilih beberapa tawaran dan komitmen yang bersesuaian sahaja.

“Maklumlah, pada tahun lalu Ozlyn mengalami keguguran sebanyak tiga kali. Jika diizinkan, saya berhasrat untuk menambahkan bilangan anak, sekali gus mengembangkan keluarga kami,” katanya kepada mStar Online, baru-baru ini.

Johan berkata sejak bergelar ketua keluarga, keutamaan dalam hidupnya kini adalah kepada keluarga. Justeru itu, Johan berkata dia sanggup bersusah payah dengan melakukan apa sahaja tawaran kerja demi kebahagiaan dan keselesaan mereka.

“Bagi saya, keluarga adalah segala-galanya. Biar saya tidur dan merempat di masjid sekali pun tetapi jangan anak isteri saya. Mereka berhak menikmati yang terbaik dalam segenap aspek kehidupan.

“Sebab itu, saya bekerja keras sepanjang tahun lalu untuk mengukuhkan ekonomi keluarga. Alhamdulillah, keadaan kami semakin stabil dan pada tahun ini saya mahu lebihkan masa bersama mereka,” luahnya.

Johan mendirikan rumah tangga dengan Ozlyn pada 25 Julai 2009. Pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Sodiq Hainana yang kini berusia dua tahun.

Menyentuh perkembangan kerjaya, Johan kini bergelar penyampai tetap di radio Era FM bagi slot Riuh Pagi Di Era bersama Ray dan Haniff, pada setiap Isnin hingga Jumaat pukul 6 hingga 10 pagi, bermula awal bulan ini.

Dia juga kembali mengacarakan musim keenam program Raja Lawak (RL6) di samping Zizan Razak yang bermula 13 Januari lalu.

Selain itu, Johan juga bakal muncul dengan filem terbaru, Bujang Telajak Belum Terlanjur arahan Prof Madya A Razak Mohaideen bermula 19 Januari ini.

Pemenang tempat ketiga RL1 ini juga akan tampil dengan dua buah filem yang masih menunggu slot tayangan iaitu Berani Punya Budak dan Papadom 2.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain