suria

Tiz Zaqyah Ingin Lebih Banyak Peranan Sesuai Dengan Usia

Tiz Zaqyah.
Tiz Zaqyah.
Tiz Zaqyah.

PUTRAJAYA: Pelakon jelita, Tiz Zaqyah menjelaskan dia ingin membawa lebih banyak peranan sesuai dengan usianya yang baru mencecah 25 tahun.

Tiz berkata, sebelum ini dia banyak terikat dengan watak-watak yang jauh lebih matang sehingga ada yang menyangka dia lebih berusia daripada umur sebenarnya.

"Kadang-kadang sedih juga kerana sering disalah anggap lebih berusia daripada umur sebenar tetapi tidak pernah merungut dengan watak ditawarkan kepada saya.

"Tahun ini saya ingin lebih banyak membawa watak yang lebih sesuai dengan usia sekarang," ujarnya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Tiz berkata, filem terbaru lakonannya, Cinta Kura-Kura adalah sebuah naskah menonjolkan sifatnya sebagai seorang remaja.

Tiz memberitahu, filem arahan Nizam Zakaria itu bakal menyaksikannya mempamerkan perbezaan daripada segi lakonan yang sebelum ini agak stereotaip sebagai gadis kampung dan baik kepada remaja yang ceria dan lincah selain beberapa sisi lain dirinya sebgai pelakon.

"Walaupun ia sebuah filem ringan tetapi ia memberi cabaran kepada saya kerana sebelum ini telah terbiasa dengan watak berat dan jauh lebih berusia.

"Tetapi melalui Cinta Kura-Kura saya dapat mempamerkan sifat keremajaan saya yang mungkin tidak pernah dilihat sebelum ini," ujarnya.

Selain Tiz, Cinta Kura-Kura yang bakal ditayangkan pada 1 Mac depan turut menampilkan Aeril Zafril, Bob (AF2), Zizan Razak dan Farah Fauzana.

Sementara itu, Tiz berkata, tahun ini dia terpaksa menolak banyak tawaran berlakon filem kerana telah terikat dengan pelbagai projek drama bersiri dan telefilem.

Ujarnya, walaupun kecewa tidak dapat beraksi dalam layak perak, dia bagaimanapun menganggap ia bukan rezekinya pada tahun ini.

"Tawaran berlakon filem cukup banyak tetapi saya terpaksa menolak kerana jadual saya sudah padat pada tahun ini dengan pelbagai projek telefilem dan drama rantaian yang telah terlebih dahulu diberikan kepada saya.

"Mungkin rezeki untuk berlakon filem tidak ada untuk tahun ini," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain