suria

Fauzi Nawawi Angkat Seni Silat Dalam 'Pak Pung'

Fauzi Nawawi dan isterinya, Lisdawati.
Fauzi Nawawi dan isterinya, Lisdawati.
Fauzi Nawawi dan isterinya, Lisdawati.

SHAH ALAM: Pelakon yang kini bergelar pengarah filem, Fauzi Nawawi berhasrat untuk mengembalikan kegemilangan seni mempertahankan diri iaitu silat dalam filem arahan pertamanya, Pak Pung.

Fauzi berkata, dia berhasrat menggunakan silat dalam babak aksi kerana ingin memartabatkan seni mempertahankan diri kerana kebanyakan filem komersial pada hari ini lebih gemar memaparkan aksi pertarungan biasa dan telah digunakan secara meluas.

"Telah banyak filem apabila babak lawan atau aksi menggunakan teknik bertarung yang hampir sama. Atas sebab itulah saya memilih untuk memasukkan elemen silat dalam Pak Pung bagi mengembalikan kegemilangan seni mempertahankan diri itu," ujarnya.

Fauzi berkata demikian kepada mStar Online selepas ditemui pada majlis pelancaran filem Pak Pung di sini, Khamis.

Katanya, adalah tidak mustahil jika suatu hari nanti silat akan digunakan secara meluas dalam filem tempatan dan antarabangsa jika lebih banyak penerbit dan pengarah di negara ini memberikan pendedahan kepada seni mempertahankan diri.

"Lihat filem daripada China yang tidak pernah lepas memasukkan elemen Kung-Fu dan kejayaan filem Ong-Bak yang begitu hebat mempamerkan seni pertahankan diri tempatan mereka sehingga mendapat perhatian daripada Hollywood.

"Apabila saya mendapat idea untuk menghasilkan filem ini, ia adalah matlamat saya bagi memartabatkan silat di seluruh dunia," ujarnya.

Dalam pada itu, Fauzi berkata selain khidmat pelakon lagak ngeri, Pak Pung juga akan menggunakan ahli silat dalam filem tersebut bagi memberikan keaslian pada babak bertarung.

Tambahnya, filem yang bakal memulakan penggambaran pada 16 Januari ini turut memberikan latihan kepada para pelakon yang bakal melakukan aksi bertarung bagi mempersiapkan diri sebelum ke set.

Sementara itu, Fauzi berkata, menariknya mengenai filem ini, selain elemen silat dan jalan ceritanya yang berkaitan dengan dunia nyata dan ghaib, ia turut dibarisi oleh 25 nama popular dalam dunia perfileman dalam satu filem.

Antara nama yang bakal terlibat adalah seperti Izreen Azmidar, Siti Saleha, Marsha Milan Londoh, Syawal, Jasmin Hamid, Datuk Eizlan Yusof, Saiful Apek, Lisdawati selain penampilan istimewa model popular, Amber Chia.

"Ini adalah antara kekuatan filem ini apabila ramai nama besar turut terlibat sama bagi menjayakan filem ini dan hasilnya nanti pasti akan menarik," katanya.

Dalam perkembangan sama, Fauzi berkata walaupun terkilan kerana tidak dapat menggunakan khidmat pelakon seperti Neelofa dan Fathia tetapi dia bersyukur watak mereka dapat digantikan dengan Izreen dan Marsha.

"Sebetulnya saya menawarkan watak Suri kepada Fathia kerana kebolehannya mengaji Al-Quran tetapi kerana kesibukan saya terpaksa menggantikan dengan Izreen yang juga berkebolehan mengaji dengan begitu baik sekali.

"Bagaimanapun jangan menganggap mereka sebagai pilihan kedua kerana masing-masing mempunyai kebolehan tersendiri," ujarnya.

Menelan belanja hampir RM2 juta, filem terbitan 9 Country Sdn Bhd bakal ditayangkan di pawagam pada awal tahun depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain