suria

Zarina Anjoulie Jadi Wanita 'Gedik'

KUALA LUMPUR: Pelakon kontroversi, Zarina Anjoulie Lavocah tidak pernah merasakan ada penerbit filem atau drama di negara ini cuba mengeksploitasi dirinya gara-gara cerita panas yang melandanya.

Zarina berkata, setiap tawaran berlakon yang diterima adalah keputusannya sendiri asalkan watak yang diberikan bersesuaian.

"Seperti drama muzikal Kampus, walaupun watak saya sebagai wanita gedik, saya terima kerana belum pernah memegang peranan sebegitu.

"Tidak timbul isu saya dieksploitasi kerana nama 'Zarina' itu telah sinonim dengan 'seksi' dan 'nakal'. Saya langsung tiada masalah dengan perkara itu," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada sidang media drama muzikal Kampus di sini, Khamis.

Tambahnya, dia percaya setiap tawaran yang diberikan kepadanya adalah kerana kepercayaan penerbit dan pengarah filem terhadap bakat yang dimiliki dan bukan kerana cerita kurang enak tentangnya.

Dalam pada itu, Zarina berkata, dia tidak mahu lagi memikirkan mengenai cakap-cakap buruk yang dilemparkan kepadanya kerana dia berazam untuk terus fokus dengan kerjaya dan pelajaran.

Ujarnya, dia sudah terbiasa dengan tohmahan masyarakat terhadapnya dan tidak perlu membuktikan apa-apa kepada segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengannya.

"Saya bekerja atau tidak rasanya tidak perlu lagi hendak digembar-gemburkan kepada masyarakat. Saya lebih senang dengan bersikap “low-profile”.

"Lagi banyak bercakap akan ada sahaja orang mempertikaikan saya, jadi lebih baik berdiam diri dan buat perkara yang tidak mengganggu orang lain," katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan dirinya, Zarina berkata, dia sedikit sibuk dengan pelajaran dalam bidang undang-undang di sebuah koleh swasta di ibu negara.

Zarina berkata, dia akan mengambil tawaran berlaku hanya ketika bercuti panjang.

"Saya akan cuti semester dalam masa terdekat ini dan akan menjalani penggambaran filem Khon Malay dan Ular terbitan KRU Studios.

"Selain itu juga terdapat beberapa projek drama seperti Kampus dan beberapa lagi. Saya juga sedang menanti filem Taiko untuk ditayangkan," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain