suria

Yusof Haslam Akhirnya Guna Telefon Bimbit

Yusof Haslam dan isterinya, Fatimah Ismail.
Yusof Haslam dan isterinya, Fatimah Ismail.
Yusof Haslam dan isterinya, Fatimah Ismail.

PETALING JAYA: Produser filem Skop Production, Datuk Yusof Haslam akhirnya telah ‘melanggar pantang’ apabila terpaksa menggunakan telefon bimbit selepas diminta oleh isterinya Datin Fatimah Ismail.

Yusof berkata, dalam masa yang sama ia dapat memudahkannya untuk menjalankan urusan perniagaan selain selepas ditegur oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang sukar menghubunginya.

“Saya dah guna telefon bimbit hampir setahun. Bukannya apa, selama ni susah wartawan nak hubungi saya. Lagi pun Dr Rais pun pernah tegur,” katanya.

Menurut Yusof, selama sepuluh tahun tidak menggunakan telefon bimbit membuatkan dirinya bebas dengan sebarang gangguan selepas waktu pejabat.

Segala urusan penting katanya memadai dihubungi menerusi talian tetap di pejabat ataupun di rumah.

Bagaimanapun apabila terlalu banyak rungutan termasuklah daripada pihak media yang sukar mendapatkan beliau, akhir sekali isterinya menasihatinya supaya menggunakan kemudahan berkenaan.

“Isteri saya membelikan telefon Blackberry untuk saya guna tapi saya tak tahu. Akhirnya saya pakai telefon “cap ayam” cukuplah. Nombornya nampak besar dan senang nak buat panggilan,” katanya.

Jelas Yusof, talian telefon bimbit itu hanyalah untuk diberikan kepada pihak-pihak tertentu dan orang media sahaja dan tidak sesekali diberikan kepada artis-artis.

Katanya, ia disebabkan beliau tidak mahu timbul salah faham sebagaimana yang berlaku sebelum ini sehingga hampir-hampir merosakkan rumah tangganya.

“Terus terang saya katakan apabila saya pakai telefon bimbit, hubungan saya dengan pihak media semakin rapat. Mereka senang nak cari saya. Malah isteri saya pun tak melarang saya lagi.

“Tapi terus terang saya katakan, nombor telefon ini saya tidak akan berikan kepada artis terutamanya artis-artis wanita. Saya tak mahu kejadian lama berulang lagi,” ujarnya.

Yusof tidak menggunakan telefon bimbit selama ini selepas dia diganggu oleh pelakon wanita popular menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan juga panggilan telefon.

Kejadian itu menimbulkan perselisihan faham di antara beliau dengan Fatimah sehinggalah beliau membuat keputusan untuk tidak menggunakan lagi telefon bimbit sebagai bukti kesetiaan dan cinta kepada isterinya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain