suria

Kolaborasi Hot FM, TV9 Sempena Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Stesen radio Hot FM dengan kolaborasi TV9 menghasilkan dua buah lagu Hari Raya istimewa buat pendengar stesen penyiaran itu.

Pengurus Besar, Jenama dan Promosi Rangkaian Radio Media Prima Berhad Zurina Othman mengutarakan rasa teruja bekerjasama dengan TV9.

“Hot FM gembira kerana sekali lagi berjaya menghasilkan sebuah lagu Hari Raya baru sempena musim perayaan tahun ini dan kami berharap agar lagu ini dapat diterima baik oleh semua.

“Menyedari hakikat kanak-kanaklah insan yang paling gembira dalam menyambut Hari Raya, maka kami menjana idea bersama TV9 untuk kerjasama kali ini, iaitu bekerja dengan karakter animasi popular, Upin dan Ipin serta bintang Idola Kecil.

"Walau bagaimanapun, masih terselit nilai komersial dalam lagu “Hangatnya Raya Di Hatiku” jelasnya ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa Hot FM, di sini, Rabu.

Kemunculan “single” Hari Raya ini juga adalah rentetan daripada kejayaan positif penjualan album tahun lepas antara Hot FM dengan kerjasama Astro, Monkey Bone dan PMP Entertainment, iaitu sebanyak 6943 unit (CD), 6197 unit (VCD), 6197 (DVD) dan muat turun sebanyak 6,000.

Kolaborasi pertama Hot FM bersama TV9 ini menampilkan lagu lama yang diberi nafas baru iaitu Suasana Di Hari Raya nyanyian asal Anuar Zain dan Elina serta sebuah lagu baru hasil ciptaan Muhammad Ashraf Aasimudin (atau dikenali sebagai Acap) berjudul Hangatnya Raya Di Hatiku.

Gabungan penghasilan dua “single” Hari Raya ini semakin hangat dengan kemunculan Upin & Ipin serta juara dan finalis Idola Kecil musim ketiga (IK3) iaitu Nor Harris Alif bin Mohd Rashidi (Harris), Puteri Aszfaryna Khareeza (Puteri), Abdul Hadi Bin Abdul Mazlan (Hadi) dan Angelica Paujin (Angel) di samping para penyampai radio Hot FM seperti Fara Fauzana, Faizal Ismail, AG, Leya, Kieran dan Ikhwan.

Malahan empat penyampai baru seperti Usop, Chad, Deen dan Suraya juga turut menyumbangkan suara mereka di dalam lagu ini. Pada masa yang sama AG dan Leya juga merupakan ikon kepada TV9 sempena bulan Ramadan ini. Lagu Hangatnya Raya Di Hatiku boleh di muat turun dari laman web rasmi, Hot FM (www.hotfm.com.my) dan TV9 (www.tv9.com.my).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain