suria

Erul Tiru Cara Bintang Korea Untuk Hargai Peminat

KUALA LUMPUR: Bekas peserta Akademi Fantasia ke 9 (AF9) Erul atau nama sebenar Hairul Najmuddin Abu Samah mengakui sentiasa mengikuti perkembangan muzik negara Korea yang popular dengan K-POP bagi menjadikan dirinya seiring dengan fenomena tersebut.

Tambah Erul, mengikuti perkembangan daripada pelbagai aspek termasuklah bagaimana mereka menghargai peminat.

“Saya minat muzik K-POP sejak sekolah lagi, setiap lagu mereka saya akan cari makna lirik-liriknya bagi menghayati lagu tersebut.

“Malah selepas bergelar artis ini, saya cuba ikut cara artis-artis Korea menghargai peminat mereka iaitu dengan meletakan barang-barang pemberian peminat di satu tempat dalam bilik mereka,” katanya yang kini mempunyai Kelab Peminat Sarang He Rul yang baru sahaja di lancarkan pada 9 Julai lalu.

Tambah Erul, dia kini dalam proses belajar secara tidak formal untuk menguasai bahasa Korea daripada seorang rakan yang berasal dari negara tersebut.

“Saya banyak belajar sendiri bahasa Korea tetapi tidak pandai untuk bercakap dengan satu ayat, jadi saya belajar dengan seorang kawan yang berasal dari Korea, dia berniaga di sebelah butik pakaian saya di Ampang,” katanya.

Dalam pada itu, Erul juga mengakui tidak pernah terlepas menyaksikan persembahan artis Korea di Malaysia.

“Saya bukan minat K-POP sahaja tetapi juga semua muzik dan artis Korea termasuk drama mereka.

“Jika saya bersedih saya selalu dengar lagu-lagu Korea kerana bagi saya bahasa mereka sangat menyentuh hati,” jelasnya.

Ditanya tentang perkembangan kariernya, dia yang baru sahaja muncul dengan “single” berjudul Legasi Cleopatra dan akan keluar dengan “single” kedua tidak lama lagi.

“Saya kini sibuk dengan pelbagai program Hari Raya dan dalam proses menyiapkan “single” kedua yang akan muncul tidak lama lagi,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain