suria

Selepas Dituduh Ciplak Lagu, Natasha Hudson Masih Ingin Menyanyi

Natasha Hudson
Natasha Hudson
Natasha Hudson

PETALING JAYA: Biarpun pernah dituduh sebagai 'ratu ciplak' melalui lagu Hanya Tuhan Yang Tahu sebelum ini, pelakon jelita Natasha Hudson bangkit dengan dua single baru.

Single tersebut berjudul Jika Kau Berubah dan Selamanya yang dijangka diedarkan bulan depan.

Katanya, lagu tersebut menjadi landasan untuk dirinya bangun semula daripada peristiwa yang pernah menjejaskan namanya.

“Saya tahu ramai yang mengecam saya apabila pertama kali melangkah ke dunia nyanyian dan lebih teruk apabila menuduh saya melakukan ciplak sedangkan saya tidak tahu menahu tentang itu.

“Saya berharap dengan adanya single terbaru nanti, saya dapat diterima dalam bidang seni suara ini. Apa yang saya lakukan bukan kerana duit atau populariti tetapi kerana minat yang mendalam,” katanya kepada mStar Online.

Tambah Natasha, dia tidak mahu berhenti kerana kritikan masyarakat, malah menganggap ia sebagai dugaan hidup.

“Dalam hidup, saya telah lalui berbagai dugaan dari segi peribadi dan kerjaya. Saya pernah melalui banyak kontroversi.

“Tapi saya sudah lali dan tak ambil peduli dengan apa orang nak cakap tentang saya. Saya hanya lakukan apa yang saya ingin lakukan,” katanya.

Sementara itu, Natasha mengakui jadual kerjaya akan lebih padat berikutan pembabitannya dalam bidang tersebut.

“Saya memang seorang yang kuat bekerja. Jka tidak ada kerja saya akan runsing. Saya sentiasa akan penuhkan jadual saya dengan kerja.

“Alhamdulillah setakat ini masa bersama anak tetap diutamakan, biasanya saya akan bawa anak saya sekali ke tempat kerja,” katanya.

Ditanya tentang kehidupan peribadi, Natasha yang pernah dikaitkan dengan pelawak Zizan Raja Lawak ini memberitahu mahu menumpukan perhatian kepada kerjaya terlebih dahulu.

“Saya sudah menghabiskan banyak masa dengan kehidupan kekeluargaan suatu masa dahulu dan kini masanya untuk saya mencari kebahagiaan untuk kerjaya saya pula. Kini saya ingin fokus untuk anak dan diri sendiri,” ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain