suria

Jehan Miskin, Aeril Zafriel dan Amylea Kunjungi Pembaca mStar

Selebriti dihidangkan dengan pelbagai juadah sarapan pagi. Foto: NORAFIFI EHSAN
Selebriti dihidangkan dengan pelbagai juadah sarapan pagi. Foto: NORAFIFI EHSAN
Selebriti dihidangkan dengan pelbagai juadah sarapan pagi. Foto: NORAFIFI EHSAN

KUALA LUMPUR: Pelakon Jehan Miskin, Aeril Zafrel dan penyanyi Amylea membuat kejutan apabila hadir ke rumah peminat bertuah Aminah Ibrahim, 66, untuk bersarapan pagi.

Ketiga-tiga selebriti tersebut amat teruja apabila kedatangan mereka disambut dengan pelbagai juadah makanan.

Menurut tuan rumah, Aminah Ibrahim, 66, kehadiran selebriti ini bagaikan sebuah mimpi menjadi kenyataan kepadanya yang sememangnya merupakan peminat kepada ketiga-tiga selebriti tersebut.

“Ini kali pertama saya rumah kami dikunjungi dengan artis dan saya rasa sangat terharu dan gembira sekali.

“Saya berharap kehadiran artis ini menjadi inspirasi kepada anak saya yang berhasrat untuk bertapak dalam bidang yang sama,” katanya ketika ditemui selesai majlis tersebut.

Aminah atau lebih mesra dipanggil Mak Su telah menghantar penyertaan untuk acara Bersarapan Pagi bersama mStar dan Suria FM yang bertujuan untuk memberi kejutan kepada anak lelakinya, Mohd Kamil Affendi.

Sementara itu, Jehan menganggap acara ini merupakan aktiviti yang sihat dan mampu merapatkan hubungan artis dengan peminat dengan lebih rapat.

“Rasa ngantuk saya hilang apabila bertemu dengan keluarga ini, mereka terlalu baik hati dan melayan kami dengan baik.

“Saya tumpang gembira melihat mereka gembira dapat berjumpa kami, secara keseluruhannya ia tidak seperti yang saya jangkakan,” katanya.

Dalam pada itu, Amylea berkata sangat teruja dan ini merupakan pengalaman pertama berjumpa dengan keluarga peminat secara lebih dekat.

“Kebiasaannya kita berjumpa peminat secara ramai-ramai di restoran atau kedai makan tapi kali ini secara lebih dekat.

“Saya tidak sangka pula mereka beri layanan sebegini dan menyambut kedatangan kami dengan mesra,” katanya.

Aeril pula berkata, pengalaman pertama ini sangat bermakna kerana pertama kali menyertai aktiviti seperti ini.

“Ini kali pertama saya ikut acara sebegini dan ia sangat seronok. Walaupun terpaksa bangun awal pada hari tidak bekerja tapi ia berbaloi,” katanya.

Manakala bagi penyampai Suria FM, Naim, acara seumpama ini memberi peluang kepadanya memperkenalkan diri kepada pendengar.

“Acara ini dapat mengeratkan lagi silaturahim antara selebriti dan peminat. Secara tidak langsung juga dapat mempromosi stesen Suria FM kepada pendengar baru,” katanya.

Sarapan Pagi Bersama mStar dan Suria fm yang ditemani dengan selebriti popular bertujuan untuk merapatkan silaturahim antara pembaca, pihak akhbar dan selebriti.

Malah pembaca akhbar Mingguan mStar berpeluang menerima kejutan apabila artis popular terpilih akan hadir untuk bersarapan pagi di rumah mereka bersama geng mStar dan juga deejay popular Suria FM.

Acara ini akan diadakan setiap dua minggu sekali bermula 10 April sehingga 22 Mei depan.

Untuk menyertai kejutan ini, para pembaca dikehendaki mengisi borang penyertaan dengan mendapatkan akhbar Mingguan mStar yang diedarkan sekitar Lembah Klang pada setiap Ahad (diterbitkan bersama Sunday Star).

Menerusi borang tersebut, pembaca dikehendaki menulis maklumat peribadi berserta sebaris ayat yang mudah dan hantarkan kepada pihak kami untuk pemilihan.

Pemenang bertuah akan dihubungi oleh pihak penganjur dan mereka berpeluang untuk menerima kunjungan artis pada suatu pagi di hari minggu yang indah.

Artikel Berikut

AF9: Kay Tersingkir

Artikel Lain