suria

Amar Baharin amal makanan rebus

PADA mulanya, pelakon Amar Baharin mahu bergelar seorang model. Tetapi hajat tersebut tidak kesampaian apabila ketinggiannya tidak mencukupi.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang pemuda berusia 26 tahun itu untuk mengekalkan bentuk badan sasa persis seorang ahli bina badan.

Bekas peserta program realiti Anak Wayang ini semakin dikenali setelah muncul dalam drama bersiri Kau Dan Aku di Astro Ria.

Menyentuh tentang perkembangan kariernya, Amar sedang menjalani penggambaran drama bersiri Laila Manja untuk slot Legenda di TV3 yang dijangka akan disiarkan pada Jun ini.

Dia juga sedang menantikan kemunculan dua dramanya berjudul Mimi Mencari Cinta untuk Astro Warna (saluran 132) dan Tanah Kubur (Astro Oasis- saluran 106).

Dengan karakter ceria dan tidak menyombong diri, Amar mudah didekati dan bertegur sapa dengan sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur.

Bercerita sedikit tentang latar belakang Amar, dia merupakan graduan jurusan kejuruteraan elektrik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor. Disangka ambil dadah

“Dulu, saya kurus dan cengkung sehingga disangka mengambil dadah. Sehingga apabila memasuki universiti, baru saya teringin membina badan.

“Saya selalu bercampur dengan pelajar jurusan sains sukan dan melakukan ‘work out’ bersama-sama.

“Selepas itu, saya melihat pertandingan pencarian model di sebuah akhbar. Bagaimanapun selepas melihat syarat-syarat kelayakan, tinggi saya tak lepas.

“Alang-alang saya fikir saya nak kekalkan bentuk badan sasa dengan selalu membuat latihan membina otot. Saya juga perlu menjaga disiplin yang betul dan mengawal pemakanan,” kata Amar kepada OopStarz!.

Menyentuh tentang pemakanan, Amar mengurangkan makanan berminyak, bergula dan tidak mengamalkan makanan berkarbohidrat.

“Saya gemar makan pasta dan spageti kerana bagus untuk diet. Kadangkala jika makan nasi seminggu sekali, saya mengamalkan beras perang.

“Lauk pula, saya mengambil lauk yang direbus dan ayam bakar. Selain itu, saya suka makan ayam yang dimasak dengan sup tetapi saya hanya merasa sedikit kuah sup itu.

“Apabila sibuk dengan penggambaran, saya susah jaga disiplin soal makan sebab terpaksa menikmati makanan yang disediakan oleh pihak produksi. Bagaimanapun, saya mengurangkan kadar pengambilan makanan dan banyak minum air kosong,” katanya lagi.

Amar juga mementingkan tidur yang mencukupi. Katanya, golongan dewasa perlu mempunyai waktu tidur berkualiti selama enam jam iaitu dari pukul 10 malam hingga 6 pagi.

Disebabkan hari-harinya kadangkala terdedah dengan penggunaan kosmetik, Amar menggunakan percikan air oksigen untuk menyegarkan muka dan kulit tampil bersih.

“Saya akan bersih muka dengan pencuci muka dan menyembur muka sebelum tidur. Apabila bangun pagi, saya meregangkan otot badan dan bergayut pada palang sebanyak 15 kali.

Buat rawatan muka

Jangan ada yang tidak tahu, Amar pernah mengikut kawan wanitanya membuat rawatan muka.

“Saya pernah buat rawatan stim muka untuk mengeluarkan bintik putih dan bintik hitam. Tetapi mata saya tak tahan sehingga air mata meleleh dan sukar bernafas.

“Sejak insiden itu, saya jarang melakukan rawatan muka. Tetapi saya mengamalkan multi-vitamin. Saya juga tidak perlu risaukan tentang penjagaan muka kerana muka saya tiada masalah kulit,” beritahunya.

Di dalam beg sandang Amar, dia akan pastikan membawa satu bedak kompak untuk hilangkan lingkaran gelap dan memastikan penampilan wajahnya sentiasa rapi.

Baginya kecantikan wanita atau lelaki perlu seimbang sama ada dari segi pemakanan, senaman dan penampilan.

“Kadangkala ada orang yang kerap makan tetapi tidak mahu bersenam. Ada juga yang tidak mahu makan kerana takut gemuk. Tetapi sebenarnya orang itu rugi sebab tidak menikmati makanan dengan baik.

“Selain itu, saya nasihatkan agar setiap orang berehat dengan secukupnya dan cari masa untuk tidur,” katanya yang menganggap jenama barangan yang dipakai perlu sesuai dengan taraf hidup artis itu.

Artikel Berikut

AF9: Kay Tersingkir

Artikel Lain