suria

SOROTAN 2010 : Kecemerlangan Jadi Sandaran

Siti Nurhaliza
Siti Nurhaliza
Siti Nurhaliza

PETALING JAYA: Untung bak si ayam, tuahnya nampak di kaki. Tuah anak seni apabila menggenggam sebuah trofi.

Tahun 2010 memberi sinar kepada ramai karyawan seni apabila mereka menerima pelbagai anugerah dan pencapaian.

DATUK SITI NURHALIZA: Penyanyi tersohor negara Datuk Siti Nurhaliza melebarkan profil kerjayanya ke dalam bidang perniagaan apabila tampil dengan produk kecantikan Simply Siti yang dilancarkan pada 30 Mac 2010.

Rangkaian kosmetik dan penjagaan kulit wanita itu menampilkan SimplySiti C Bright, SimplySiti New Age, SimplySiti Acne Solution.

Melengkapi perjalanan seninya untuk 2010, Siti turut dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang popular Berita Harian 2009 (ABPBH2009), 4 April lalu.

Kejayaan itu merupakan pengiktirafan kali keenam buat Siti dalam sejarah penganjuran ABPBH.

DATUK AC MIZAL: Pelakon dan pengacara AC Mizal dikurniakan darjah kebesaran iaitu Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) daripada Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah yang membawa gelaran Datuk pada Ramadan lalu.

Biarpun status barunya itu mengundang kontroversi, AC terus cemerlang melebarkan jaringan perniagaannya.

SYAMSUL YUSOF: Tuah anak bujang kepada penerbit dan pengarah filem Datuk Yusof Haslam ini terserlah apabila diangkat sebagai Pengarah Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23), 24 Oktober 2010.

Kejayaan Syamsul itu diiktiraf barisan juri menerusi air tangannya, Evolusi KL Drift 2.

Syamsul bakal membuka tirai filem Melayu 2011 menerusi filem seram pertamanya iaitu Khurafat pada 13 Januari depan.

EDRY ABDUL HALIM: Karyawan muzik yang berjinak-jinak dalam dunia pengarahan filem ini pasti tersenyum puas mengimbas semula pencapaiannya menerusi filem Magika pada tahun ini.

Bukan saja filem pertama arahannya itu mendapat pujian meluas, malah ia turut mencatatkan kutipan pecah panggung sebanyak RM3.14 juta apabila ditayangkan pada minggu kedua Hari Raya Aidilfitri lalu.

Tambah manis, Magika turut dijulang sebagai Filem Terbaik FFM23, selain lima Anugerah Cipta. Salah satunya, Edry turut dinobat sebagai Pengarah Harapan.

Terus mengorak langkah, Edry kini sedang dalam proses persiapan untuk filem keduanya, sebuah muzikal yang berjudul 29 Februari.

METROWEALTH INTERNATIONAL GROUP (MiG): Tahun 2010 terus melakarkan episod gemilang buat syarikat produksi milik David Teo ini.

Menerusi tayangan sembilan judul filem setakat ini iaitu Adnan Sempit, Semerah Cinta Stilleto, Zoo, Mantra, Senario Asam Garam, Jangan Pandang Belakang Congkak 2, Cuti-Cuti Cinta, Ngangkung, Aku Masih Dara (masih ditayangkan), MiG boleh berbangga dengan kutipan pecah panggung untuk kesemua judul tersebut.

Lebih manis lagi, rekod pecah panggung yang dikutip oleh Adnan Sempit sebanyak RM7.66 juta pada awal tahun ini telah dipecahkan oleh Ngangkung yang mengutip RM8 juta sejak ditayangkan, 25 November lalu.

Terbaru, filem kesepuluh keluaran produksi itu untuk tahun ini, Damping Malam arahan Ahmad Idham melabuhkan tirai tayangan filem Melayu 2010 apabila ditayangkan bermula semalam.

MiG juga dijangka beroperasi sepenuhnya di premis tujuh tingkat di Wisma Metrowealth, Pusat Dagangan Petaling Jaya Selatan, Petaling Jaya menjelang 2011 ini.

MUALLAF: Filem Muallaf arahan Allahyarham Yasmin Ahmad yang ditayangkan pada 24 Disember 2009 gagal meraih kutipan memberangsangkan ekoran kekangan promosi dan publisiti.

Malah, filem itu turut diperbahaskan oleh banyak pihak ekoran sentimen keagamaan yang dipentaskan oleh Yasmin.

Bagaimanapun, menerusi Festival Filem Asia Pasifik ke-54 (APFF54) yang berlangsung di Taiwan awal Disember lalu, Yasmin telah diangkat sebagai Pengarah Terbaik hasil paparan kritis yang dipertaruhkannya dalam filem itu.

Meskipun filem itu terpinggir tanpa penjelasan kukuh di FFM23, maruah filem itu ditebus kembali apabila memenangi anugerah Filem Terbaik, Pengarah Terbaik Filem dan Pelakon Wanita Terbaik Filem (Sharifah Amani) di Anugerah Skrin 2010 (ASK2010), 24 Disember lalu.

Pengiktirafan yang diterima oleh Muallaf itu boleh disifatkan sebagai anugerah posthumous yang paling membanggakan untuk Allahyarham dan peminatnya.

SEARCH dan WINGS: Dua lagenda rock tanah air iaitu kumpulan Search dan Wings mencipta sejarah tersendiri tahun ini apabila kedua-dua kumpulan ini bersatu semula dalam rantaian konsert Double Trouble (DT) selepas 17 tahun.

Bermula dengan siri konsert itu di Equestrian Park, Bukit Kiara pada 1 Mei 2010 yang berjaya menghimpunkan lebih 20,000 penonton, jelajah DT diteruskan ke beberapa lokasi seperti Johor Bahru, Johor, Seberang Jaya, Pulau Pinang dan berakhir di Surf Beach, Sunway Lagoon pada 25 Disember lalu.

Ekoran sambutan luar biasa peminat, Search dan Wings dijangka kembali dalam DT 2011 ke beberapa lokasi baru termasuk Sarawak dan Singapura.

FAIZAL TAHIR: Walaupun masih belum pulih sepenuhnya daripada masalah kesihatan yang membelenggunya, penyanyi pujaan ramai Faizal Tahir berjaya melakarkan pencapaian 2010 yang layak untuk dipaparkan.

Kejayaan bapa kepada tiga anak ini bermula apabila dia berjaya menduduki tempat ketiga pada malam Anugerah Juara Lagu 24 (AJL24), 10 Januari lalu menerusi lagu Bencinta.

Kegemilangannya dalam muzik diteruskan apabila album kedua iaitu Adrenalin dinobatkan sebagai Album Terbaik dan Album Rock Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-17 (AIM17), 2 Mei lalu, sekalipun album itu belum dilancarkan apabila pertandingan berlangsung.

Faizal akan meneruskan kemaraannya pada 2011 ini apabila bakal beraksi di pentas AJL25 menerusi dua lagu Selamat Malam dan Hanyut pada 9 Januari depan.

LISA SURIHANI: Aktres jelita ini cukup menyerlah sepanjang 2010. Populariti dan pencapaiannya yang bergerak seiring melonjakkan nama pelakon berusia 24 tahun ini sebagai pelapis ‘heroine’ filem Melayu.

Lisa memenangi anugerah keramat Pelakon Wanita Terbaik di FFM23 menerusi filem cinta Legenda Budak Setan.

Selain lambakan judul filem dan drama sepanjang tahun ini, Lisa turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi artis Malaysia yang pertama berjaya mengumpul lebih 1 juta peminat di akaun laman sosial Facebook.

Lisa yang mengembangkan profilnya ke dunia pengacaran menerusi program Mari Menari dijangka terus laris pada 2011 dengan kemunculan beberapa judul filem seperti Ombak Rindu, Sekali Lagi dan banyak lagi.

MILA: Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin, 23, melakar pencapaian tersendiri dalam profil nyanyiannya apabila berjaya mengharumkan nama negara menerusi pertandingan Open Mic UK 2010.

Bermula dengan pentas saringan yang disertainya pada Ogos lalu di Newcastle, Mila berjaya melepasi peringkat itu bersama sembilan peserta yang lain untuk mewakilti Newcastle di pertandingan separuh akhir yang berlangsung di North England Dewsbury Town Hall, November lalu.

Nasib kurang menyebelahi juara Akademi Fantasia 5 itu di peringkat separuh akhir ekoran faktor kekurangan undian penonton.

Sekalipun tidak berjaya menempah tiket ke pertandingan akhir, kembara Mila ke United Kingdom telah membuka mata beberapa wakil syarikat rakaman di sana terhadap potensi penyanyi dari Teluk Kumbar, Pulau Pinang ini.

Terbaru, mStar Online difahamkan, Mila bakal terbang ke UK semula pada Januari ini untuk berbincang dengan beberapa agen syarikat rakaman di sana bagi proses rakaman dan pemasaran albumnya ke benua itu.

SHAHEIZY SAM: Adik bongsu kepada dramatis popular Zizie Ezette ini juga tidak ketinggalan memahat namanya dalam jurnal pencapaian anak seni 2010.

Tahun ini menyaksikan kebangkitan Sam di persada seni apabila satu persatu kejayaan digenggamnya.

Bermula dengan populariti mendadak selepas kejayaan filem Adnan Sempit pada Januari lalu, Sam terus melakar sejarah perfileman apabila memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Evolusi KL Drift 2.

Selain sibuk dengan tawaran lakonan yang silih-berganti, Sam sempat melabuhkan tirai pencapaiannya untuk 2010 dengan menerima Anugerah Yasmin Ahmad pada malam ASK2010, 24 Disember lalu.

Pencapaian dan kejayaan sepanjang 2010 ini harus dijadikan sebagai pembakar semangat untuk anak-anak seni kita agar terus berjaya.

Semoga kehadiran tahun baru 2011 bermula esok, diharapkan dunia hiburan akan terus malap dengan kontroversi sebaliknya cerah dengan pencapaian dan kejayaan.

Selamat tahun baru daripada redaksi hiburan mStar Online.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain