suria

'Ustaz Amirul' Keperibadian Ashraf Muslim

KUALA LUMPUR: Pelakon Ashraf Muslim mengakui 50 peratus keperibadian watak Ustaz Amirul yang dilakonkannya merupakan sifat dirinya sendiri.

Drama Ustaz Amirul di TV3 mengisahkan tentang cabaran dan dugaan yang perlu diharungi oleh seorang lelaki berusia 30 tahun bergelar Ustaz Amirul yang baru tamat pengajian peringkat sarjana dalam bidang Usuluddin dari sebuah universiti Islam di Mesir.

Dengan dikelilingi pelbagai kepura-puraan dan manipulasi budaya moden, Ustaz Amirul akan diduga keteguhan imannya sebagai pemegang amanah Allah dalam melaksanakan niatnya untuk memulakan kelas agamanya sendiri.

Ustaz Amirul juga berjanji kepada ibunya, jika dia tidak mempunyai calon isteri sehingga dia berusia 30 tahun, ibunya mencari siapakah wanita yang layak bergelar isteri.

Drama tersebut akan menggantikan Ahmad Durrah di slot Zehra setiap Jumaat bermula 7 Januari, pukul 9 malam.

"Saya perlu menyampaikan dakwah kepada remaja-remaja. Watak Ustaz Amirul agak berlainan seperti watak ustaz lain yang pernah saya lakonkan sebelum ini.

"Ustaz pun seperti manusia biasa lain yang perlu berhadapan dengan keputusan dalam hidup," ujar Ashraf.

Seperkara yang menjadi kebimbangan pelakon drama Niyang Rapik dan Cinta Sempurna ini adalah selepas Ustaz Amirul disiarkan di televisyen.

"Saya risau sekiranya drama ini membuatkan penonton akan membandingkan latar belakang diri saya di luar.

"Saya juga perlu lebih berhati-hati sebelum melakukan sesuatu perkara. Mungkin dari segi perbuatan atau perkataan saya," ujarnya lagi.

Sejak akhir-akhir ini, tidak dinafikan pelakon drama Ilusi dan Manjalara ini selalu melakonkan watak seorang ustaz.

Kebetulan, terbaru dia turut muncul dalam filem Aku Masih Dara yang sedang ditayangkan di pawagam.

Namun jika diikutkan Ashraf tidak menolak sekiranya ditawarkan watak antagonis atau jahat asalkan cerita itu mempunyai mesej berguna kepada masyarakat.

"Sebagai pelakon, memang saya perlu versatil tetapi saya perlu juga memenuhi kehendak saya dalam menunaikan tanggungjawab kepada masyarakat.

"Selepas ini, saya teringin untuk melakonkan watak orang bisu dan pekak pula," tambahnya yang turut sibuk menguruskan perniagaan penternakan kambing.

Artikel Sebelum

Parti Media Hiburan Meriah

Artikel Berikut

Artikel Lain