suria

Antara Garisan Rezeki Penantian 9 Tahun Shahrul Ezad

KUALA LUMPUR: Pengarah drama Antara Garisan, Shahrul Ezad Mohamedin menganggap kejayaan dinobatkan sebagai Drama Terbaik dan Lakon TV Terbaik, Anugerah Skrin 2010 sebagai rezeki setelah sembilan tahun tercalon di anugerah berprestij ini.

Menurutnya, drama tersebut merupakan salah satu drama yang membawa mesej yang berat tetapi disampaikan dengan jalan yang mudah.

“Keistimewaan drama ini ialah ia mudah difahami walaupun mesej yang ingin disampaikan agak berat iaitu ada satu garisan yang memisahkan antara dosa dan pahala.

“Ia merupakan daripada cerita teladan yang pernah diceritakan kepada saya iaitu seorang pelacur yang membantu seekor anjing dalam kehausan, justeru pelacur tersebut akhirnya masuk ke syurga.

“Dari situ saya garap mnejadi sebuah cerita yang sesuai dengan masyarakat kita sekarang yang sering menghukum seseorang dari segi luaran tanpa mengenal terlebih dahulu,” jelasnya.

Menurut Shahrul Ezad, kemenangan ini turut menamatkan kehampaannya yang setiap tahun tercalon.

“Ini merupakan kemenangan pertama saya, saya fikir untuk mengenapkan 10 tahun baru dapat anugerah tetapi rezeki itu datang lebih awal.

“Tentang kemenangan ini, saya pasti semua yang tercalon adalah yang terbaik. Namun bagi saya setiap drama yang saya hasilkan adalah yang terbaik,” katanya yang turut menganggap kejayaan ini sebagai pembakar semangat buatnya.

Pada malam tersebut, drama antara Garisan turut mengondol anugerah Pelakon Wanita Terbaik, NorKhiriah dan Pelakon Pembantu Terbaik, Azma Aizal Yusoof.

Sekaligus drama ini menewaskan saingan terdekat iaitu drama Sebelum Akhirat, Dalil Cinta, Kaki dan Perempuan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain