suria

Akustika 2010 Hangatkan Aidilfitri

Yuna menganjurkan Malam Yuna Decorate di KL PAC pada 23 dan 24 Julai 2010, pukul 8.30 malam.
Yuna. - Foto THE STAR Oleh AZHAR MAHFOF
Yuna. - Foto THE STAR Oleh AZHAR MAHFOF

GABUNGAN tiga penyanyi popular Aizat, Yuna dan kumpulan Hujan dalam program muzikal Raya istimewa, Akustika 2010 bakal menghangatkan suasana lebaran tahun ini.

Akustika kali ini mengajak penonton untuk bersama-sama menikmati irama dan gubahan lagu-lagu unik dan indah yang telah disusun semula oleh tiga bintang muda tanahair tersebut.

Penerbit dan pengarah program itu, Khalijah Mohamed memberitahu, persembahan itu masih mengekalkan konsep unplugged seperti tahun-tahun sebelumnya.

Bagaimanapun katanya, ia tampil dengan sedikit kelainan kali ini untuk memastikan supaya program muzikal ini terus menghiburkan dan menepati cita rasa para penonton.

"Memahami keinginan Aizat, Yuna dan kumpulan Hujan untuk memberikan yang terbaik kepada penonton dan peminat mereka, kami memberikan kebebasan kepada artis untuk memilih lagu sendiri yang ingin dipersembahkan malam ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas selesai sesi rakaman program Akustika 2010 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Rabu.

Ketiga-tiga artis kegemaran ramai tersebut menyanyi dengan iringan band masing-masing.

Program muzikal sejam itu turut dijayakan oleh 13 pemuzik tambahan di bawah pimpinan pengarah muzikal Faizal Uzir (Lok U) yang mengalunkan irama biola, double bass, saksofon, trombon dan trumpet.

Membuka tirai persembahan malam itu ialah Yuna dengan lagu terbarunya, Gadis Semasa.

Ini diikuti dengan medley Desafinado, sebuah lagu klasik daripada Antonio Carlos Jobim yang dinyanyikan dalam bahasa Portugis serta lagu Bulan Ditutup Awan yang pernah dipopularkan oleh penyanyi era 60-an, Lena Abdullah.

Hujan kemudian tampil dengan single terbaru mereka, Muda dan diikuti dengan medley lagu-lagu malar hijau, Belaian Jiwa dendangan kumpulan Carefree dan Si Gadis Ayu (kumpulan rock Black Dog Bone).

Selepas itu, Aizat pula menghiburkan penonton dengan persembahan hebat medley lagu-lagu hits lewat tahun 80-an seperti lagu keramat kumpulan Headwind, Suraya dan tribute istimewa untuk kumpulan Gersang, Masih Aku Terasa.

Aizat turut berkesempatan menyanyikan lagu terbaru bahasa Inggeris, Years From Now dari album yang baru dilancarkannya, Urusan Aizat Amdan.

Sebelum program itu berakhir, Aizat, Yuna dan Noh membawakan lagu popular kumpulan Freedom, Mulanya Di Sini.

Program Akustika 2010 bakal disiarkan pada Hari Raya pertama, pukul 6 petang di TV3.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain