suria

Peserta Terengganu, Kelantan Juara Bintang Klasik Zon Timur

KUALA TERENGGANU: Peserta dari Terengganu dan Kelantan muncul sebagai juara kategori lelaki dan wanita dalam pertandingan Bintang Klasik Zon Timur anjuran RTM yang berlangsung di Auditorium Taman Budaya Kuala Ibai di sini, Sabtu malam.

Tuan Izatt Izzuddin Tuan Abdul Aziz dari Terengganu yang menyampaikan lagu nyanyian Harapan Kecewa yang dipopularkan oleh Datuk Ahmad Jais muncul juara manakala Farah Norashikin Abdul Rahim pula mendendangkan lagu Hapuslah Air Matamu yang dipopularkan oleh biduanita Datuk Sharifah Aini.

Dua peserta dari Pahang Syamsul Nizam Ali dan Nor Akma Zulaika Abdul Khalid masing-masing membawa lagu Tiada Kata Secantik Bahasa (P.Ramli) dan Mengapa Dirindu (Saloma) muncul naib juara.

Tempat ketiga pula dimenangi MD Wahidul Zaman Bahrudin dari Terengganu dengan membawa lagu Hanya Dina (M. Bakri) dan Juliana Abdul Razak dari Kelantan dengan lagu Cendera Mata (Kartina Dahari).

Juara dan naib juara pertandingan itu akan bertanding ke peringkat suku akhir yang akan berlangsung di Angkasapuri tidak lama lagi manakala peringkat akhir akan diadakan di Auditorium Kompleks Penyiaran Tuanku Mohamad, Negeri Sembilan, 27 November ini.

Juara menerima hadiah wang tunai RM2,000, sijil, piala serta hadiah iringan manakala naib juara RM1,500, sijil, piala serta hadiah iringan dan tempat ketiga RM1,000 beserta sijil, piala serta hadiah iringan.

Pertandingan tahunan anjuran RTM itu diadakan antara lain bertujuan memartabatkan lagu-lagu lama yang masih digemari ramai sepanjang zaman.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Abdul Rahin Mohamad Said. - BERNAMA

Artikel Lain