suria

Farawahida Teruja Dapat Kembali Ke Sekolah!

BAGI memberikan kelainan terhadap program siri jelajahnya kali ini, stesen radio yang sedang meningkat naik, Suria FM tampil dengan konsep 'Back To School' bersempena dengan Suria FM 'Rancak' Tour yang akan berlangsung pada 19 dan 20 Disember ini.

Masih mengekalkan tagline, Muzik Tanpa Henti, Suria FM memulakan siri jelajahnya di Plaza Metro Kajang pada 19 Disember manakala di Plaza Alam Sentral Shah Alam pula pada keesokan harinya bermula dari pukul 3 hingga 6 petang.

Seramai kira-kira tujuh orang artis popular tanahair iaitu Mawi, Diana Danielle, Farawahida, Marsha, Dayang Nurfaizah, Sofaz dan Ameng Spring akan menyerikan siri jelajah ini yang mana kesemuanya termasuklah penyampai-penyampai Suria FM akan tampil dengan imej 'back to school', sama ada dengan pakaian sekolah, pakaian unit beruniform, guru dan sebagainya.

"Saya suka sangat dengan tema yang diangkat sempena siri jelajah kali ini. Saya rasa ia memang bersesuaian dengan cuti persekolahan ketika ini.

"Malah, untuk kami yang sudah lama meninggalkan alam persekolahan, inilah masanya untuk mengembalikan semula memori di bangku sekolah dulu.

"Namun, buat masa ini saya belum benar-benar pasti pakaian sekolah yang bagaimana akan saya gayakan. Mungkin saya akan beri sedikit kelainan dan tidak nampak terlalu 'budak sekolah' sangat.

"Tengoklah macam mana nanti. Tapi apa yang pasti, saya memang teruja untuk bersama dengan artis-artis lain pada acara tersebut," kata Farawahida atau Fara yang akan muncul di Suria FM 'Rancak' Tour pada 20 Disember di Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Selain hadir dengan berpenampilan mengikut tema, penyanyi yang popular dengan lagu Tanpamu ini juga akan membuat persembahan pada acara tersebut dengan mendendangkan beberapa buah lagu.

Tutur Fara yang baru selesai menjayakan teater bangsawan Sinbad: Batu Pertama Dewa yang dipentaskan di Panggung Bandaraya DBKL baru-baru ini, dia juga amat berbesar hati apabila diundang oleh Suria FM menjadi antara artis yang terbabit membuka tirai siri jelajah itu.

"Kerjasama antara saya dan Suria FM memang sudah lama terjalin. Malah, mereka masih mempercayai dan terus memberikan peluang kepada saya walaupun pelbagai perkara berlaku tidak lama dulu.

"Bagi saya, ini adalah satu jalinan yang baik. Lagipun, di dalam industri ini, kami sama-sama memerlukan antara satu sama lain," ujarnya yang bakal menjayakan teater Sinbad itu sekali lagi yang juga akan dibuat dalam bentuk siri jelajah bermula awal tahun depan.

Selain kemunculan dan persembahan artis-artis, pengunjung di Suria FM 'Rancak' Tour juga berpeluang menyertai kuiz dan permainan istimewa yang bakal menawarkan pelbagai hadiah menarik dan eksklusif oleh Suria FM serta penaja-penaja.

Sementara itu, sepanjang Disember ini, Suria FM juga menyediakan hadiah-hadiah menarik lain untuk dimenangi. Pendengar hanya perlu menyertai kuiz ringkas dan mudah di Suria FM dengan melayari www.suriafm.com.my

Pendengar bertuah akan berpeluang memenangi hadiah seperti melancong ke China, percutian di tempat-tempat pelancongan menarik di Malaysia sertaa barangan eksklusif Suria FM.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain