suria

'Farid memang kawan Diana'

Diana Danielle dikatakan sudah mempunyai cinta baru dan jejaka itu ialah Farid Kamil
Diana Danielle dikatakan sudah mempunyai cinta baru dan jejaka itu ialah Farid Kamil
Diana Danielle dikatakan sudah mempunyai cinta baru dan jejaka itu ialah Farid Kamil

TERKEJUT juga bila membaca sebuah akhbar baru-baru ini yang mengatakan aktres jelita Diana Danielle sudah pun mempunyai cinta baru dan jejaka itu dikatakan adalah pelakon popular, Farid Kamil.

Sejauhmana kebenarannya, tidak pula dapat dipastikan apatah lagi Farid juga sebelum ini telah digosipkan menjalinkan hubungan cinta dengan seorang lagi aktres muda, Lisa Surihani.

Malah, tidak pasti pula bagaimana Farid dan Diana dapat 'menjalinkan' hubungan memandangkan gadis berusia 18 tahun itu sedang menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) selama tiga bulan sejak Mac lalu dan pastinya sukar untuk berhubungan.

Peluang berbual dengan ibunya, Norsiah Ramli, semalam, dia akui hanya ketawa membaca kisah anaknya itu yang dikatakan mungkin sedang mengamalkan hubungan cinta 'jarak jauh' dengan aktor tersebut.

"Tergelak juga saya baca cerita tu. Tapi terus-terang saya katakan, saya sendiri tidak tahu kisah sebenarnya sama ada benar atau tidak mereka bercinta.

"Walaupun sebelum sertai PLKN sayalah yang sentiasa berada di sisi Diana, tetapi ada sesetengah hal memang Diana tidak bercerita pada saya.

"Tapi saya akui Farid dan Diana memang berkawan baik. Malah, saya pun kenal dengan Farid. Dia memang seorang budak yang baik. Tetapi sejauhmana seriusnya hubungan mereka itu, saya sendiri tidak pasti.

"Mungkin saya perlu tanya dia (Diana) sendiri bila saya bertemu dengannya Ahad ini di kem PLKN," tutur Norsiah.

Katanya lagi, dia tidak kisah siapa pun pilihan anak perempuannya itu asalkan lelaki itu mampu memberikan kebahagiaan kepada dirinya.

"Saya ingin lihat Diana gembira. Jadi terserahlah kepada dia sendiri," ujar Norsiah tentang anaknya yang pernah menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon dan pengarah, Syamsul Yusof, sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, kata Norsiah, dia turut melahirkan perasaan gembira apabila Diana berjaya melanjutkan perasaan ke University of Nottingham, Kuala Lumpur pada Julai ini.

"Alhamdulillah, Diana dapat memasuki universiti itu dan mengambil pengajian asas biosains selama satu tahun setengah. Selepas itu, dia akan terus sambung buat ijazah selama tiga tahun sama ada di sini atau United Kingdom.

"Memang kursus ini dipilih sendiri oleh Diana. Dia sudah lama bercita-cita ingin menjadi seorang saintis. Universiti ini pun memang salah satu pilihan Diana sendiri dan dia memohon ketika berada dalam PLKN.

"Nampaknya selepas tamat PLKN awal Jun nanti, banyak bendalah dia kena buat. Saya sebenarnya ingin bawa dia bercuti dulu, tapi kata Diana sendiri, dia ingin berehat di rumah saja dan uruskan kemasukannya ke universiti itu," katanya.

Ujarnya lagi, jadual seni Diana juga perlu disusun semula selepas ini agar dapat diseimbangkan antara pelajaran dan kariernya.

"Kalau ikutkan, memang selepas dia habis PLKN nanti, sudah ada beberapa projek yang akan dia jayakan termasuklah pembikinan album sulungnya. Malah, ada juga tawaran filem yang dia dapat ketika dia masih berada dalam PLKN, tetapi saya ingin tunggu dia keluar dulu dan bincang bersama.

"Dan memandangkan pada masa yang sama dia akan mula sambung belajar, jadi memang kami kena rombak semula jadual Diana yang sudah dirancang sebelum ini," kata Norsiah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain