suria

Aditya: Resipi lama Bintang RTM lebih berjaya dari AF

ADA pihak yang menyarankan supaya Akademi Fantasia (AF) dihentikan sementara, tidak kurang juga yang mencadangkan pertandingan-pertandingan yang melahirkan bakat nyanyian turut mencari noktahnya. Mereka ada sebab tersendiri kerana kita menghuni negara demokrasi yang berhak bersuara.

Barangkali saranan dan cadangan itu lahir daripada kebosanan perjalanan sesebuah produksi yang saban minggu menerima kritikan media terutama AF7 sejak awal Datin Seri Tiara Jacquelina diumumkan sebagai Prinsipal.

AF7 yang sudah berpenghujung Sabtu lalu, One in A Million menobatkan Tomok sebagai juara baru, Mentor baru membuka tirai ujian dan Bintang RTM yang kini di peringkat separuh akhir - semuanya berdasarkan pencungkilan bakat seni suara.

Cuma Anak Wayang dan Pilih Kasih yang baru sahaja menamatkan pencarian calon mereka dalam bidang lakonan, memulakan siri pemarkahan, penilaian, pengajaran dan penyingkiran.

Aditya tidak menafikan saban minggu, ada saja drama dan gimik dilakukan demi mencari kelainan. Itu cara mereka biarpun ada ketikanya membosankan sehingga tahap meloyakan. Transformasi yang dicari, entah ke mana jauh tersasarnya.

Tiada beza dengan apa yang dihasilkan melalui AF selama ini. Transformasi sekadar penyedap 'tagline' atau ayat dalam menyemarakkan program.

Soal 'tagline' atau slogan bukan perkara asing dalam industri kita, macam yang dilakukan setiap kali acara Festival Filem Malaysia yang kini rancak dengan kempen globalisasi yang saya sendiri makin pudar kefahaman konteks globalisasi yang dimaksudkan mereka.

Orang kita memang sukakan benda yang gah, biar nampak gah walaupun tidak segagah mana pun. Yang penting nampak dari aspek kosmetik dan fizikal. Soal dalaman dan keupayaan sebenar, lain kira kerana mereka yang kononnya bertanggungjawab membentuk ke arah itu dilantik daripada kalangan profesional yang bukan calang-calang.

Macam yang dibuat oleh profesional dalam usaha melahirkan pelapis baru dunia seni selama ini. Adakah anda semua nampak hasil sebenarnya? Transformasi atau trans-basi?

Mungkin perkembangan begini yang membuatkan sesetengah pihak menyarankan pencarian bakat baru menerusi program realiti televisyen dihentikan, baik buat sementara mahupun kekal.

Bagaimanapun itu pandangan peribadi para profesional dan saya sendiri, secara kasarn saya kurang bersetuju dengan cadangan itu.

Biarpun atas tiket untuk melahirkan pelapis anak seni, saya melihat program sebegini sebagai memeriahkan lagi pengisian program yang bernafaskan budaya setempat.

Stesen televisyen sentiasa akan mencari jalan membentuk program yang mampu menarik perhatian penonton. Paling dekat kita lihat, pentas nyanyian. Ada penyingkiran, ada drama dan air mata, pasti masyarakat kita suka dan realitinya begitu dalam kehidupan kita seharian.

Lagipun ini cara terbaik untuk anak-anak muda mencari ruang memperkenalkan diri serta bakat mereka kepada dunia. Tidak seperti dulu, mereka kebanyakan memerlukan tongkat untuk memasuki industri yang kadang-kadang tongkat yang diharapkan itu sendiri 'memakan' mereka terlebih dulu sebagai syarat atau pengeras.

Biasakan kita dengar?

Sekurang-kurangnya juga, sesi uji bakat yang diadakan secara terbuka meyakinkan mereka akan peluang dan ruang yang dibuka oleh pihak penganjur. Kewibawaan sebagai stesen penyiar, menambahkan lagi keyakinan itu dan yang utama, mereka tidak perlukan orang tengah untuk mencapai cita-cita.

Seperkara lagi tentang penganjuran ini, realitinya stesen TV mementingkan rating dalam usaha menarik perhatian pengiklan.

Ini survival sebuah bisnes media yang memerlukan sokongan iklan untuk terus hidup. Ramai penonton, bermakna lebih mudah mereka membeli jiwa pengiklan untuk mengiklankan produk mereka di stesen tersebut.

Dalam soal ini sebenarnya kita boleh kata situasi menang menang semua pihak - baik stesen, peserta pertandingan, penonton mahupun pengiklan.

Bagaimanapun era pengurusan artis lepasan pertandingan realiti seperti AF, sudah berlalu. Tiada lagi kontrak tiga tahun atau enam bulan yang mengikat semua pelajar yang masuk TV. Kononnya mereka dijaga, diberi latihan berterusan untuk menjadi penghibur berkaliber.

Semua itu anganan dan selepas lebih kurang enam tahun beroperasi, ditambah dengan ekonomi hiburan yang semakin menguncup, Maestro ditutup.

Nampaknya formula atau resipi lama seperti yang diamalkan bekas peserta-peserta Bintang RTM diikut semula.

Sebagaimana kita tahu, tamat saja pertandingan pencungkilan bakat itu, mereka perlu meneruskan usaha sendiri dalam menghidupkan sebuah survival anak seni.

Mungkin kerana itu juga, kita lihat betapa 'struggle' bekas peserta Bintang RTM untuk terus hidup, lalu menjadikan mereka lebih kukuh untuk jangka waktu yang lama. Tidak perlu diberi contoh di sini kerana kita sedia maklum siapa juara Bintang RTM yang kekal dalam industri hingga kini.

Generasi muda hari ini, seharusnya lebih membuka mata dalam mencontohi daripada senior program realiti mereka. Usah terlalu manja, mengharapkan disuap baru boleh makan. Mereka harus bekerja berkali ganda daripada apa yang mereka lalui sekarang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain