suria

Impian Hafiz bergelar juara tercapai selepas 12 tahun

MELOMPAT GIRANG... Hafiz terlalu gembira setelah dinobatkan sebagai juara AF7. - foto THE STAR oleh AHMAD IZZRAFIQ
MELOMPAT GIRANG... Hafiz terlalu gembira setelah dinobatkan sebagai juara AF7. - foto THE STAR oleh AHMAD IZZRAFIQ
MELOMPAT GIRANG... Hafiz terlalu gembira setelah dinobatkan sebagai juara AF7. - foto THE STAR oleh AHMAD IZZRAFIQ

KUALA LUMPUR: Seperti dijangka dari awal lagi, Mohd. Hafiz Mohd. Suip atau lebih dikenali Hafiz menjuarai Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), malam tadi.

Kejayaan itu, menurut Hafiz, merealisasikan impiannya untuk bergelar juara dalam pertandingan nyanyian ketika dia berumur 7 tahun pada suatu hari nanti.

"Saya dah simpan impian untuk bergelar juara sejak berusia 7 tahun. Saya ingat lagi waktu itu adalah hari jadi arwah nenek saya.

"Jadi, sejak hari itu, saya mula berminat dengan bidang nyanyian dan mula menyertai beberapa pertandingan nyanyian di Sarawak," katanya kepada mStar sejurus AF7 berakhir.

Hafiz menambah: "Mak saya adalah orang yang paling banyak memberikan sokongan. Saya tidak akan melupakan saat ini sampai bila-bila."

"Insya-Allah, selepas ini, saya akan mengikut aliran muzik yang sebati dengan jiwa saya iaitu pop rock, balada dan R&B. Bagaimanapun, saya ini jenis universal iaitu rock dan ala-ala lagu Jepun," ujarnya.

Dengan kemenangan itu juga, Hafiz berjaya merampas takhta juara dari kalangan peserta lelaki selepas dua tahun berturut-turut diraih oleh peserta wanita.

"Sejujurnya, saya amat gembira dinobat sebagai juara. Bagi saya, tiada beza sama ada peserta lelaki atau perempuan yang bergelar juara kerana kita semua manusia," luah Hafiz.

Penyanyi berasal dari Kuching itu berjaya memperolehi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) tertinggi sebanyak 46 peratus diikuti Aril (22 peratus), Akim (18 peratus), Yazid (9 peratus) dan Isma (5 peratus).

Dengan itu, Hafiz membawa pulang kereta mewah Honda Accord 2.0 liter, percutian ke New York untuk dua orang yang bernilai RM10,000, Arezzo Hoffman 5.1 Home Theatre System, kamera jenama Olympus U1030, Hyundai Air Purifier - HYAP-202, Hugo Boss Watches (HB1110-15022022A) & (HB1120-15032026A), BRAND's InnerShine untuk dinikmati 1 tahun, Nokia 5730 XpressMusic, wang tunai RM20,000 dan trofi Astro.

Walaupun pada awalnya, Hafiz gagal membawakan lagu Kau Bunga Cintaku (nyanyian asal Anuar Zain) dengan baik ekoran terikut-ikut dengan koreografi, dia bangkit kembali menerusi lagu keduanya.

Stadium Putra, Bukit Jalil - tempat berlangsungnya peringkat akhir AF7 - menjadi gamat apabila selesainya penyanyi berusia 19 tahun itu mendendangkan Lagu keduanya, Masih Jelas (Ciptaan: Aidit Alfian dan Lirik: Ad Samad).

Sorakan para penonton tidak henti-henti sehingga `mengganggu' tiga pengkritik memberikan komen terhadap persembahan luar biasanya itu.

Tiga pengkritik yang bertugas malam tadi ialah Adlin Aman Ramlie, Datuk Khadijah Ibrahim dan Edrie Hashim.

Sementara itu, Aril yang memenangi tempat kedua memperolehi baucer percutian bernilai RM3,000, kamera U1030, Arezzo Hoffman Karaoke Set, Hyundai Air Purifier - HYAP-202, Hugo Boss Watches (HB1110-15022126A) & (HB1110-13020311), wang tunai RM10,000 dan trofi Astro.

Akim selaku pemenang ketiga meraih baucer percutian bernilai RM2,000, kamera FE320, wang tunai RM8,000 dan trofi Astro.

Yazid yang menduduki tempat keempat dihadiahkan kamera FE320 dan wang tunai RM3,000.

Isma satu-satunya peserta wanita tunggal bergelar ibu yang layak ke peringkat akhir dan menduduki tempat kelima memperolehi trofi Astro.

Selain itu, kad SIM pemenang AF7 akan diaktifkan oleh Hotlink selama setahun.

Dalam pertandingan akhir itu, Aril menyampaikan lagu Kasih Tak Sampai (nyanyian asal Padi) dan Toksik (ciptaan Alim/ Shazee Ishak dan lirik oleh Nurfatima) manakala Akim membawakan lagu Bencinta (Faizal Tahir) serta Bengang (ciptaan Amir dan lirik oleh SQ).

Yazid pula mendendangkan lagu Kasidah Cinta (Dewa 19) dan Ya Papa (ciptaan Tun Taja dan lirik oleh Hairul Anuar Harun) sementara Isma melagukan Cinta Adam Dan Hawa (Misha Omar) dan Bisikan..Godaan (ciptaan Aiman dan lirik oleh Slen).

Kejayaan Hafiz tersebut menepati ramalan ramai artis dan selebriti yang diperolehi menerusi tinjauan mStar sebelum ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain