suria

Ustazah Siti Nurbahyah berjaya buat penonton menitiskan air mata

Gaya Siti Nurbahyah yang menyampaikan cerita tentang kisah hidup Nabi Muhammad S.A.W dengan penuh bersemangat. -foto The Star oleh AZMAN GHANI
Gaya Siti Nurbahyah yang menyampaikan cerita tentang kisah hidup Nabi Muhammad S.A.W dengan penuh bersemangat. -foto The Star oleh AZMAN GHANI
Gaya Siti Nurbahyah yang menyampaikan cerita tentang kisah hidup Nabi Muhammad S.A.W dengan penuh bersemangat. -foto The Star oleh AZMAN GHANI

SEKALUNG tahniah kepada pihak yang terlibat di dalam penganjuran Konsert Malam Maulidurrasul 1430 H (MSM) di Stadium Malawati Shah Alam, baru-baru ini, terutama kepada artis-artis yang menjayakan persembahan mereka di mana ia bukan sahaja menghiburkan, bermesej malah telah berjaya membuatkan penonton menitiskan air mata.

Cukup menyentuh emosi tatkala mendengar Ustazah Datuk Siti Nurbahyah Mahmood yang bercerita tentang sejarah hidup Nabi Muhammad S.A.W sejak baginda lahir sehinggalah wafat.

Siti Nurbahyah tampil di atas pentas sebanyak empat kali untuk menyambung satu demi satu sekuel cerita tentang kisah hidup Nabi yang begitu bermakna buat penonton.

Pada mulanya, apa yang diceritakan hanya didengari biasa sahaja memandangkan mereka yang sudah mengetahui tentang sejarah di awal kelahiran Nabi mungkin mendengar tanpa menunjukkan apa-apa reaksi.

Namun begitu, ada juga yang sudah mula kusyuk mendengar dan menghayati cerita yang disampaikan dengan penuh bersemangat oleh penceramah bebas itu.

Masuk kali kedua, cerita Siti Nurbahyah sudah mula membuatkan ramai hati yang tersentuh begitu juga kali ketiga.

Masuk kali keempat, ketika Siti Nurbahyah menceritakan tentang saat-saat kewafatan Nabi, beliau telah berjaya membuatkan ramai penonton menitiskan air mata.

Begitulah sedikit sebanyak tentang bagaimana dengan penceritaan sahaja, sudah ramai yang tersentuh dan mengalirkan airmata.

Bagaimana sekiranya ia divisualkan dan dipertontonkan kepada semua orang. Mungkin lebih ramai yang menginsafi diri dan terharu dengan pengorbanan yang dilakukan oleh Rasulullah.

Amy Search dapat tepukan paling gemuruh

Antara ramai-ramai artis yang membuat persembahan nyanyian, Amy Search paling mendapat tepukan gemuruh berbanding Rabbani, Datuk Siti Nurhaliza, Mawi dan Ustaz Akil Hayy.

Saat Amy keluar ke pentas sahaja, mulalah sorakan dan tepukan bergema di dalam ruang dewan yang menghimpunkan kira-kira 6,000 penonton itu.

Semasa persembahan pembuka di mana semua artis yang membuat persembahan menyanyikan lagu ‘Ya Nabi Salam ‘Alaika’, apabila Amy bersuara sahaja terus penonton memberikan tepukan yang luar biasa.

Mungkin kerana mereka jarang mendengar Amy menyanyikan lagu bercorak dakwah dan ketuhanan itu di depan khalayak.

Selain itu, mereka juga bersorak apabila Amy sekali lagi keluar memberikan persembahan lagu ‘Tiada Lagi’.

Amy juga sempat berduet dengan Rabbani menerusi lagu ‘Mentari Merah Diufuk Timur’.

Rabbani selaku ‘tuan rumah’ di dalam konsert ini juga berjaya menghiburkan penonton menerusi lagu popular ‘Intifada’, ‘Selawat Nabi’, Salamun Salam (duet dengan Akil Hayy), dan Saksi (duet dengan Mawi).

Mawi pula tidak kurang hebatnya dengan persembahan lagu ‘Al-Jannah’ manakala Akil Hayy menyanyikan lagu ‘Al-Mu’allim’ yang dipopularkan oleh Sami Yusuf.

Sementara Siti Nurhaliza buat kali pertamanya tampil dengan lagu terbaru, lagu tema filem ‘Perempuan Berkalong Serban’ iaitu ‘Ketika Cinta’ dan turut menyanyikan lagu lamanya dari album ‘Safa’ iaitu ‘Kudus Sinarmu’.

Konsert yang berlangsung selama sejam setengah itu turut diselang-selikan dengan titipan hadis, tazkirah dan sabda Rasulullah yang di persembahkan melalui persembahan multimedia di skrin putih, diikuti dengan qasidah dan pentorama secara ‘non-stop entertainment’.

Konsert yang dipengerusikan oleh Fenda MHI ini diakhiri dengan selawat ke atas Nabi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain