suria

Perak Mahu Hidupkan Semula Industri Perlombongan Timah

IPOH: Perak yang satu ketika dahulu terkenal dengan industri perlombongan timah berhasrat untuk menghidupkan semula industri tersebut bagi menambah sumber hasil pendapatannya, persidangan Dewan Undangan Negeri pada Khamis dimaklumkan.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata bagi tujuan itu, pihak industri diberi kebenaran untuk melakukan penjelajahan kawasan di seluruh negeri bagi mencari tapak yang mempunyai sumber mineral berkenaan.

"Pihak perlombongan akan diberi kawasan yang luas untuk melakukan penjelajahan. Mereka akan pergi dari satu kawasan ke satu kawasan yang luas sebelum diberi lesen perlombongan," katanya menjawab pertanyaan Chen Fook Chye (DAP-Keranji).

Zambry turut memberi amaran supaya pihak tertentu tidak memutar belit isu pemberian kawasan untuk penjelajahan kerana ia boleh mendatangkan  kekeliruan kepada rakyat selain mencalar imej kerajaan negeri.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata dari tahun 2010 sehingga 31 Julai 2015, sebanyak 16 projek perumahan swasta diisytihar terbengkalai di Perak.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 11 projek telah berjaya disiapkan, dua sedang dalam peringkat pemulihan manakala tiga lagi dalam perancangan awal pemulihan.

"Kerajaan negeri memandang serius permasalahan yang dihadapi berkaitan projek perumahan terbengkalai. Maka ia telah menjalankan kerjasama pintar dengan kerajaan persekutuan untuk menangani projek terbengkalai," katanya menjawab pertanyaan Tan Kar Ming (DAP-Simpang Pulai).

Menurut Rusnah, antara langkah yang diambil ialah dengan mengenal pasti pemaju yang berkeupayaan dan berpengalaman untuk mengambil alih pemulihan projek perumahan terbengkalai.

Artikel Lain