suria

Pelabur Asing Beli Saham Tempatan RM5.5 Bilion - PM

KUALA LUMPUR: Pelabur asing membeli saham tempatan bernilai RM5.5 bilion pada suku pertama tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata ia merupakan bukti kepada ekonomi yang berdaya tahan, mampan dan inklusif yang dibina kerajaan melalui pelaksanaan pelan ekonomi jangka panjang.

"Ini jelas bahawa kita mempunyai pelan ekonomi, yang telah dilaksanakan dan ia masih dilaksanakan. Ia merupakan pelan jangka panjang yang dilaksanakan untuk manfaat rakyat Malaysia bukan sahaja pada hari ini, tetapi esok, dan pada tahun-tahun dan dekad akan datang," katanya pada Invest Malaysia 2016 di sini, Selasa.

Sebagai contoh, beliau berkata, kerajaan telah mengurangkan sehingga separuh kebergantungan negara kepada minyak dan gas daripada 41.3 peratus daripada jumlah perolehan pada 2009 kepada 21.5 peratus pada tahun lepas.

Beliau berkata langkah itu diambil dengan mengambil kira bahawa kerajaan akan kehilangan perolehan sebanyak RM450 juta untuk setiap penurunan dolar AS bagi harga minyak.

"Fikirkan di mana kita hari ini jika kita tidak berbuat demikian. Ia merupakan satu lagi keputusan yang sukar, tetapi kita melakukannya kerana ia betul," katanya.

Najib berkata saiz keseluruhan pasaran modal meningkat kepada RM2.8 trilion pada tahun lepas - naik 150 peratus sejak 2009, dua setengah kali ganda Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pada tempoh sama, katanya pasaran ekuiti berkembang sebanyak 69.6 peratus kepada RM1.7 trilion manakala pasaran bon dan sukuk meningkat 74.4 peratus kepada RM1.1 trilion.

Beliau berkata bahagian lain ekonomi Malaysia telah menunjukkan daya tahan yang sama dengan lebihan dagangan naik kepada RM7.5 bilion pada Februari berbanding RM5.4 bilion pada Januari, menjadikannya bulan ke-220 lebihan dagangan sejak November 1997.

"Pencapaian ini menggalakkan terutamanya dengan mengambil kira cabaran daripada harga komoditi yang rendah, mata wang yang turun naik dan kelembapan ekonomi China," katanya.

Beliau berkata bagi setiap satu peratus penurunan dalam ekonomi China, ekonomi Malaysia merosot sebanyak 0.4 peratus memandangkan China merupakan rakan dagang terbesar negara.

Najib berkata kerajaan telah menggubal dasar untuk memastikan rakyat mempunyai kemahiran yang sesuai dengan melabur dalam latihan, selain dasar untuk memastikan barang makanan, perumahan, penjagaan kesihatan dan keperluan lain boleh didapati pada harga rendah.

"Keputusannya baik. Kita telah hampir menghapuskan kemiskinan mutlak kepada kurang daripada satu peratus. Pendapatan kumpulan isi rumah 40 peratus terendah telah meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 12 peratus, malah lebih tinggi daripada purata negara sebanyak lapan peratus," katanya.

Beliau berkata pelaksanaan undang-undang gaji minimum juga telah mengeluarkan 2.9 juta orang serta-merta daripada kemiskinan mutlak.

Persidangan Invest Malaysia 2016 selama dua hari itu menghimpunkan lebih 2,200 pengurus dana, penggubal dasar, pemacu pasaran modal dan pemimpin untuk membincangkan mengenai peluang pelaburan yang terdapat di Malaysia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain