suria

Inisiatif Pembayaran Dalam Talian JomPay CIMB Dapat Pengiktirafan

KUALA LUMPUR: CIMB Bank Bhd meraih lima anugerah pada majlis Anugerah Kecemerlangan e-Pembayaran Malaysia (MEEA), yang mengiktiraf sumbangan komuniti perniagaan dalam mempercepatkan pembangunan pembayaran elektronik di Malaysia.

CIMB muncul sebagai pemenang dalam kategori Anugerah Bank JomPAY Terbaik, Anugerah Inovasi JomPAY, Anugerah Pengalaman Pelanggan Terbaik bagi  JomPAY-Korporat, Anugerah Pengalaman Pelanggan Terbaik-DirectDebit dan Anugerah Top FPX Acquirer-Bank, kata bank itu dalam satu kenyataan Ahad.

"Kami amat berbesar hati dianugerahkan Bank JomPAY Terbaik sebagai pengiktirafan atas usaha kami memacu JomPAY sebagai saluran kutipan dan pembayaran utama.

"CIMB merupakan antara penggerak utama dalam industri bagi JomPAY dan saluran itu telah menyediakan kepada pelanggan kami kaedah tambahan untuk berurus niaga dengan pasti, selamat dan berkesan.

"Kami akan terus meningkatkan usaha kami menyediakan penyelesaian e-pembayaran tokokan nilai yang inovatif seperti JomPAY untuk memenuhi keperluan pelanggan kami yang semakin berkembang," kata Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz. 

CIMB juga menerima Anugerah Inovasi JomPAY bagi usaha kreatifnya menggandingkan bersama JomPAY dengan set penyelesaian pengurusan tunainya seperti kutipan berautomasi, pembayaran dan penyelarasan akaun. 

Anugerah Pengalaman Pelanggan Terbaik bagi JomPAY (Korporat), Pengalaman Pelanggan Terbaik (DirectDebit) dan Top FPX Acquirer-Bank membuktikan lagi sumbangan besar CIMB kepada rantaian nilai sistem e-pembayaran menerusi produk seperti BizChannel@CIMB dan pengedaran penyelesaian Financial Process Exchange (atau FPX).

MEEA dianjurkan oleh Malaysian Electronic Clearing Corporation Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Bank Negara Malaysia yang mengendalikan sistem pembayaran utama Malaysia dan prasarana pasaran kewangan. -- Bernama


JomPay, CIMB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain