suria

TH Jangka Peroleh RM1 Bilion Pelaburan Hartanah Luar Negara

KUALA LUMPUR: Dalam usaha merancakkan ekonomi negara, Lembaga Tabung Haji (TH) menjangkakan membawa pulang RM1 bilion daripada pelaburan hartanahnya di luar negara.

Tumpuan juga akan diberikan kepada hartanah domestik berdasarkan peruntukan aset sekitar RM3.5 bilion, kata TH menerusi satu kenyataan, Selasa.

"TH sebagi sebuah institusi Islamik dan pemangkin ekonomi negara, menyahut seruan Perdana Menteri bagi memastikan kestabilan pasaran kewangan.

"(Ini) melalui peningkatan terhadap inisiatif-inisiatif sedia ada dan baharu agar TH dapat bergiat aktif dalam pelaburan dalam negara yang mempunyai nilai pengganda yang tinggi," kata badan berkanun itu.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan langkah-langkah proaktif bagi meningkatkan ekonomi, termasuk meminta syarikat tempatan dan antarabangsa membawa pulang keuntungan dan melabur dalam negara.

TH berkata inisiatif sedia ada seperti Dana RIA, dengan peruntukan RM200 juta, disediakan untuk merancakkan pembangunan Bumiputra.

Sehingga 31 Julai 2015, sejumlah RM60.5 juta pinjaman diluluskan sebagai inisiatif untuk menyokong perkembangan ini.

TH juga akan melabur dalam sektor pertanian seperti penternakan bersepadu bagi mengurangkan nilai import negara.

Dalam usaha memberi peluang pekerjaan kepada graduan dan mengurangkan kadar pengangguran, TH turut meluluskan peruntukan untuk mengambil sejumlah 700 anggota menerusi program Skim Latihan 1Malaysia tahun ini dan seterusnya.

Dalam pengumuman semalam, Perdana Menteri berkata kerajaan turut  mengaktifkan semula ValueCap Sdn Bhd menerusi suntikan RM20 bilion bagi meningkatkan pasaran ekuiti, menstrukturkan dan menjadualkan semula pinjaman perniagaan.

Skim jaminan modal kerja juga dipertingkatkan dengan peruntukan tambahan RM2 bilion kepada sektor lain selain RM5 bilion untuk sektor perkhidmatan.-- Bernama


TH, Dana RIA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain