suria

Empat Pembida Untuk Rakan Kongsi Pembangunan Bandar Malaysia

KUALA LUMPUR: Empat pembida disenarai pendek dan diluluskan oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebagai rakan kongsi pembangunan berpotensi dalam projek Bandar Malaysia, kata CH Williams Talhar and Wong (WTW).

WTW merupakan penasihat transaksi bagi Permintaan Cadangan (RFP) Bandar Malaysia.

"Kami berusaha untuk memutakhirkan rakan kongsi pembangunan Bandar Malaysia menjelang akhir Oktober. Kemudian kami akan berusaha melaksanakan perjanjian muktamad paling lewat pada akhir November 2015," kata Timbalan Pengarah Pengurusan WTW, Danny Yeo dalam kenyataan, di sini, Jumaat.

WTW berkata, empat pembida terbabit disenarai pendek daripada 12 kertas cadangan yang diserah pada tarikh tutup RFP pada 28 Ogos 2015, meliputi kertas cadangan daripada pemaju swasta tempatan, syarikat berkaitan kerajaan dan pihak asing yang menghantar bidaan sama ada secara bersendirian atau sebagai konsortium.

Kertas cadangan dinilai dan disenarai pendek oleh WTW sebelum dibentang kepada Lembaga Pengarah 1MDB untuk kelulusan.

Empat pembida terakhir itu akan melalui proses sewajarnya dengan 1MDB Real Estate dan WTW sebelum cadangan terakhir dibuat kepada Lembaga Pengarah 1MDB.

Pengkomersilan Bandar Malaysia adalah sebahagian daripada pelan rasionalisasi yang dibentang kepada Kabinet pada 29 Mei 2015.

Bandar Malaysia yang akan dibangun di atas kawasan seluas 197 hektar merupakan pembangunan urban pelbagai kegunaan yang dijangka berperanan sebagai pemangkin untuk transformasi Greater Kuala Lumpur.

Terletak kira-kira tujuh kilometer dari pusat bandar raya Kuala Lumpur, pembangunan itu akan berperanan sebagai gerbang kepada laluan rel berkelajuan tinggi ke Singapura dan menjadi hab pengangkutan pusat di bandar raya menerusi jajaran 2 dan 3 Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT), perkhidmatan Komuter KTM, Hubungan Rel Ekspres (ERL), dan akses ke rangkaian lebuh raya utama pada masa depan. -- Bernama


Bandar Malaysia, Danny Yeo

Artikel Berikut

Artikel Lain