suria

Imam Masjid Nabawi Ajak Umat Islam Di Malaysia Bersatu Padu

KUALA LUMPUR: Imam Masjid Nabawi di Madinah, Arab Saudi Sheikh Salah Al-Budair mengajak umat Islam di Malaysia supaya bersatu padu dan mengelakkan perbalahan sesama masyarakat yang boleh memberi mudarat kepada negara.

Katanya umat Islam di negara ini sebaliknya perlu mencari jalan melakukan amalan kebaikan yang bermanfaat kepada masyarakat secara keseluruhan kerana setiap amalan kebaikan yang dilakukan akan diingati selamanya, walaupun selepas seseorang itu telah meninggal dunia.

"Justeru kita perlu memikirkan, sebelum kita mati, apa kebaikan yang kita tinggalkan kepada keturunan kita, sebagaimana kita nampak secara pasti, orang yang bermanfaat kepada manusia itulah orang yang paling berguna," katanya ketika membacakan khutbah Jumaat, sebelum mengimamkan solat Jumaat di Masjid Negara, di sini, Jumaat.

Khutbah dalam bahasa Arab itu diterjemahkan oleh penterjemah dari Kedutaan Arab Saudi di Malaysia, Zainal Abidin Malim.

Sheikh Salah yang juga berkhidmat sebagai hakim di Mahkamah Tinggi Madinah turut mendoakan keamanan Malaysia supaya jauh daripada kacau bilau.

Selesai solat Jumaat beliau turut melawat Muzium Seni Islam dan pejabat stesen televisyen Al-Hijrah, yang terletak berhampiran Masjid Negara.

Beliau tiba di Malaysia pada Jumaat lepas atas undangan kerajaan dan akan berada di sini sehingga 4 Mei ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain